Sakit perut petanda awal endometriosis


Oleh: HIDAYATUL AKMAL AHMAD
PERHATIAN kepada golongan wanita. Adakah anda sering sakit perut, pinggul, kitaran haid tidak teratur dan sakit sewaktu melakukan hubungan seksual? Jika jawapan anda ya, ia mungkin disebabkan penyakit endometriosis.

Ketika ini, pelbagai tafsiran dibuat mengenai penyebab penyakit itu, namun punca sebenar masih belum diketahui. Yang pasti, endometriosis menyerang wanita tanpa disedari.

Perunding Obstetrician dan Pakar Sakit Puan Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr Dharmini Veerakumaran berkata, endometriosis adalah satu keadaan luar biasa yang mana tisu daripada selaput dalam rahim yang digelar endometrium tumbuh di bahagian yang tidak sepatutnya iaitu di luar rahim.

Selaput ini biasanya hadir bersama darah haid. Oleh itu campuran darah daripada rahim dengan tisu yang berkecai daripada lapisan endometrium serta bakteria yang digelar sebagai darah haid.

“Ramai wanita masih tidak mengetahui penyakit ini sedangkan mereka menghadapinya. Antara simptom yang biasa berlaku apabila diserang penyakit ini adalah sering keguguran, mandul, senggugut selain boleh menyebabkan masalah pendarahan, kesakitan dan gangguan air kecil.


“Sehingga kini punca sebenar penyakit endometreosis masih belum diketahui, namun ada teori mengatakan ia berpunca daripada darah haid yang berundur ke belakang dan membawa bersama tisu endometrium menyebabkan ia tumbuh pada pelvis dan berdarah seperti mana kitaran haid,” katanya sewaktu ditemui di pusat perubatan itu, baru-baru ini.

Menurutnya, ada juga yang menyatakan ia tersebar melalui darah ke pelbagai bahagian lain di dalam badan. Ia juga mungkin membabitkan mekanisma lebih kompleks, yang mana wujud interaksi tidak normal pada peringkat sel dan perubahan hormon.

Endometriosis juga kerap terjadi pada wanita dalam lingkungan umur lewat 20-an dan 30-an, juga kepada wanita yang tidak pernah melahirkan anak.

Endometriosis memiliki komponen genetik iaitu jika seseorang wanita yang mengalami endometriosis mempunyai saudara terdekat, ada kemungkinan saudaranya itu turut mengalaminya.

Jelasnya, endometriosis turut memberi kesan kepada tahap kesuburan wanita. Dalam keadaan normal, lapisan endometrium hanya ada pada dinding rahim manakala bagi kes endometriosis, lapisan tisu itu dijumpai pada kawasan badan lain, terutama di dalam pelvis seperti ovari, salur Fallopio, permukaan rahim, sekitar pelvis, usus, rektum dan pundi kencing.

Ia boleh juga dijumpai di bahagian yang lebih jauh pada tubuh, termasuk paru-paru dan hati, tetapi sangat jarang berlaku.

“Meskipun tisu endometrium berada di luar kawasan yang sepatutnya, ia masih responsif terhadap perubahan hormon yang berlaku ketika kitaran haid wanita.

“Seperti haid, tisu endometriosis akan gugur dan berdarah, begitu juga dengan cara sama dengan dinding rahim yang akan gugur dan berdarah ketika kitaran haid.

“Tisu yang gugur dan berdarah di sekitar organ pelvis akan menyebabkan parut dan organ lain yang berhampiran melekat antara satu sama lain.

“Jika tiada rawatan dan tidak dikesan lebih awal, ia akan menyebabkan struktur organ pelvis beralih dari kedudukan normal,” katanya yang berharap golongan wanita akan lebih peka terhadap penyakit ini.

Sebagai contoh paling kerap berlaku, kedudukan ovari yang melekat pada uterus akan menyebabkan salur Fallopio berjauhan daripada ovari dan jika berlaku ovulasi, telur tidak dapat dicapai salur fallopian dan persenyawaan tidak akan berlaku.

Dalam kes lebih serius, kerosakan mendalam pada salur Fallopio menyebabkan ia tersumbat, rosak dan kemandulan akan berlaku.

Ovari yang ditumbuhi endometriosis pula akan mengumpul darah ketika kitaran haid dan berlakulah ovarian cyst yang mengandungi darah, iaitu seakan-akan seperti coklat cair di dalamnya.

Jika keseluruhan ovari diselaputi oleh endometriosis, ovari tidak dapat lagi berfungsi dengan normal dan gagal melepaskan telur disebabkan folikel terperangkap oleh parut pada bahagian permukaan ovari.

Endometriosis juga boleh menjejaskan kesuburan dengan melepaskan bahan kimia beracun pada pelvis. Jika telur berjaya dilepaskan juga daripada ovari, bahan kimia ini boleh mengurangkan kemampuan telur untuk disenyawakan.

Bahkan, ia juga boleh memberikan petunjuk kepada sel pemusnah badan untuk melemahkan telur, sperma dan juga embrio menyebabkan janin kurang sihat dan keguguran senang berlaku.


Apakah gejala endometriosis?

•Sakit pada bahagian pelvis antara gejala utama dan ia kerap terjadi sebelum kitaran haid bermula lagi. Sakit juga kerap terasa ketika melakukan hubungan seks, membuang air kecil atau air besar.
•Bagaimanapun, kekerapan dan intensiti rasa sakit sebenarnya tidak berkait dengan keseriusan penyakit dialami. Sesetengah wanita mungkin mengalami sakit keterlaluan, tetapi endometriosis mungkin masih pada peringkat awal dan mereka yang tiada gejala atau sakit yang ringan mungkin berada pada tahap endometriosis teruk.
•Dalam kebanyakan kes, endometriosis gagal didiagnos pada peringkat awal hinggalah wanita berkenaan berjumpa doktor disebabkan kegagalan untuk hamil kerana kebanyakan pesakit tidak mempunyai tanda atau gejala.


Bagaimana diagnosis dilakukan?
Doktor selalunya akan mengambil sejarah perubatan terperinci dan melakukan pemeriksaan fizikal, termasuk pemeriksaan faraj dan ultra sound. Jika mengesyaki kemungkinan wanita itu mengalami endometriosis, doktor mungkin menyarankan pembedahan laparoskopi untuk melihat keadaan bahagian dalam ruang pelvis.


Rawatan
Rawatan untuk endometriosis bergantung pada sejauh mana penyakit, gejala dan keinginan pesakit untuk memiliki anak. Endometriosis boleh dirawat dengan ubatan, pembedahan atau kedua-duanya sekali.


Sumber: Mymetro

Bahaya Pneumokokal


PNEUMOKOKAL, sekumpulan penyakit rumit disebabkan bakteria streptococcus pneumoniae, perlu diberi perhatian oleh ibu bapa yang mempunyai anak berusia bawah lima tahun. Bakteria itu yang sering ditemui di dalam saluran pernafasan kanak-kanak disebarkan melalui batuk dan bersin.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan penyakit itu mengakibatkan kematian lebih sejuta kanak-kanak berusia kurang lima tahun di seluruh dunia. Cukup menakutkan kerana pneumokokal sangat serius dan boleh mengakibatkan kerosakan otak, hilang pendengaran mahupun kematian.

Ada lebih 90 jenis pneumokokal, namun hanya 10 peratus boleh mengakibatkan penyakit serius di seluruh dunia. Jenis biasa ditemui di rantau kita ialah 19A, 6A, 14, 6B, 19 dan 23F. Jenis 19 A ialah bakteria yang menyebabkan pneumokokal serius dan bersifat kebal antibiotik.

Penyakit itu menyerang beberapa bahagian tubuh berbeza, sama ada mengakibatkan jangkitan selaput otak dan saraf tunjang (meningitis), jangkitan dalam darah (bakteremia), jangkitan paru-paru (pneumonia) mahupun jangkitan telinga tengah (otitis media).

Individu berisiko mendapat penyakit itu ialah kanak-kanak lima tahun ke bawah, yang dihantar ke pusat jagaan harian, yang lemah sistem daya melawan penyakit serta penghidap penyakit kronik seperti kencing manis, jantung, paru-paru, buah pinggang atau hati.

Pakar Perunding Pediatrik Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin berkata, lebih separuh kejadian dan kematian akibat penyakit pneumokokal berlaku di rantau Asia Pasifik, yang merangkumi 28 peratus kadar kematian berkaitan pneumokokus global.

Ahli pengasas Pakatan Strategik Asia bagi Pencegahan Penyakit Pneumokokal (ASAP) itu berkata ibu bapa dan orang ramai mememerlukan pendedahan cara melindungi kanak-kanak daripada pneumokokal kerana kesannya buruk tetapi boleh dielak.

“Kaedah pencegahan berkesan perlu disediakan untuk semua kanak-kanak di Malaysia. Di Asia saja, hampir seorang kanak-kanak di bawah usia lima tahun meninggal dunia setiap dua minit akibat pneumokokal,” katanya.

Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd, dengan sokongan ASAP, Pitter Patter, parenting2u. com dan SJ Echo melancarkan laman web www.abc4 pneumococcal.com bagi meningkatkan kesedaran mengenai penyakit itu di samping menekankan bahawa ia boleh dicegah menerusi pemvaksinan.

Sempena Hari Pneumonia Sedunia yang disambut di seluruh dunia 12 November lalu, pelancaran laman web itu diadakan sebagai lanjutan Kempen Sasarkan Liputan Lebih Luas (ABC) dilancarkan Jun lalu, yang menyeru ibu bapa dan individu memperjuangkan matlamat sama untuk menyokong seruan memastikan setiap kanak-kanak di Malaysia dilindungi daripada pneumokokal menerusi pemvaksinan.

Laman web www.abc4pneumococcal.com mengandungi pelbagai maklumat berkaitan penyakit itu dan bagaimana ibu bapa boleh melindungi anak daripada jangkitan.

Ibu bapa dan individu yang memperjuangkan matlamat sama digalakkan menandatangani ikrar sokongan untuk menyeru supaya pemvaksinan dimasukkan sebagai sebahagian Program Imunisasi Kebangsaan bagi memberikan perlindungan kepada kanak-kanak di Malaysia.

Dr Musa turut berkongsi pengalaman berdepan kes kanak-kanak menghidap pneumokokal. Antaranya, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mengalami batuk berlarutan tiga minggu, demam panas enam hari serta tidak memberikan tindak balas terhadap antibiotik.

“Pemeriksaan X-ray menunjukkan paru-parunya dipenuhi cecair mengandungi bakteria pneumokokus. Kanak-kanak itu mengalami kerosakan paru-paru teruk. Dia dirawat di hospital selama empat minggu,” katanya.

Kes kedua membabitkan bayi perempuan berusia lima bulan yang mengalami demam lebih 36 jam, masalah pemakanan dan muntah. Bayi itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi tetapi meninggal dunia beberapa minit kemudian.

Pengurus Negara Pfizer bagi Malaysia dan Brunei, Angel Choi berkata, vaksin konjugat pneumokokus pertama diperkenalkan pada 2000 untuk memberi perlindungan daripada tujuh jenis pneumokokus paling umum.

“Kemajuan dalam bidang penyelidikan pneumokokus membolehkan kita memberi perlindungan daripada 13 jenis bakteria pneumokokus utama.

“Lebih 50 negara memasukkan Vaksin Konjugat Pneumokokus (PCV) dalam Program Imunisasi Kebangsaan masing-masing termasuk Hong Kong, Singapura dan Macau,” katanya.

Menurut WHO, imunisasi boleh dianggap cara paling cekap dan menjimatkan kos untuk mengurangkan penyakit dan kematian.

Presiden dan Pemimpin Serantau Asia Pasifik bagi Persekutuan Organisasi Meningitis (CoMO), Bruce Lan- goulant turut berkongsi pengalaman apabila seorang anaknya pernah menghidap pneumokokal.

Menurutnya, ketika anak perempuannya, Ashleigh berusia enam bulan, dia menghidap pneumokokal yang menyebabkan meningitis dan seterusnya mengakibatkan pekak sepenuhnya, sawan dan kurang upaya daripada segi intelektual.

“Saya antara beribu-ribu ibu bapa dan keluarga yang mengalami kesan penyakit yang mengancam nyawa ini, tetapi ia boleh dicegah. Kita tidak harus mengekang kelantangan suara kita apabila berusaha mewujudkan masyarakat selamat dan sihat.

Dengan menandatangani ikrar ini, ibu bapa berpeluang berganding bahu untuk tujuan murni dan berusaha menjadi daya penggerak untuk meningkatkan tahap kesihatan semua kanak-kanak di Malaysia,” katanya.

Setiausaha, Siti Norbaizura Baharudin, 29, turut menceritakan pengalaman berdepan ujian getir apabila bayi lelakinya diserang penyakit itu, Jun lalu.

Pada mulanya Siti Norbaizura menyangka anaknya yang ketika itu berusia 11 bulan demam biasa, tetapi kemudian membawanya ke hospital selepas si kecil muntah tanpa berhenti. Bayinya disahkan diserang pnemokokal meningitis dan dirawat di ICU selama lima hari.

“Saya bersyukur anak kini sihat. Sebelum anak diserang pneumokokal, saya pernah terbaca mengenai penyakit itu tetapi tidak mengambil perhatian.

“Selepas anak keluar hospital, saya mencari maklumat di Internet dan menyebarkan maklumat mengenai penyakit itu serta pentingnya mengambil vaksin melalui blog saya.
Meningitis
Tandanya termasuk sakit kepala, muntah, sawan, demam, dan dalam kes teruk, koma. Kanak-kanak di bawah umur satu mempunyai kadar tertinggi meningitis pneumokokus, dengan 10 kes bagi setiap 100,000 orang.
Otitis media (jangkitan telinga tengah)
Simptom ini termasuk bengkak gegendang telinga, seperti sering merah dan bengkak. Gejala lain disebabkan otitis media termasuk sukar tidur, demam dan cepat marah.
Pneumonia (jangkitan paru-paru)
Tanda termasuk mendadak demam, menggigil, sakit dada dan sesak nafas.
Bakteremia (jangkitan darah)
Penyakit serius yang merujuk kepada kehadiran bakteria dalam aliran darah. Tanda termasuk demam, keresahan dan nafas laju.
Apakah langkah yang boleh diambil untuk membantu mencegah jangkitan?
Cara terbaik mencegah penyakit pneumokokal melalui vaksinasi. Vaksin pneumokokus boleh didapati dalam dua jenis, dikenali sebagai vaksin polisakarida dan vaksin konjugat. Vaksin polisakarida digunakan di kalangan orang dewasa manakala vaksin konjugat di kalangan kanak-kanak. Vaksin konjugat datang dalam 10 valen dan 13 valen.


Oleh: Norainon Othman (MyMetro)

Gaya hidup punca kanser usus besar


IA sering dipanggil kanser kolon disebabkan kebanyakan orang keliru mengenainya. Namun ‘colorectal cancer’ sebenarnya gabungan dua perkataan yang merujuk kepada kanser yang terjadi di usus besar iaitu kolon atau rektum (usus bawah/bahagian akhir usus besar). Oleh itu, perkataan lebih tepat bagi menerangkan jenis penyakit itu ialah kanser usus besar.

Usus ialah organ terpanjang dalam sistem penghadaman dan mempunyai dua bahagian iaitu usus besar dan usus kecil. Panjang usus besar kira-kira 1.5 meter, berbeza di kalangan setiap individu.

Kanser ini sering dialami penduduk di negara maju dan membangun. Di Malaysia, penyakit ini sering menyerang dan mencatat tangga ketiga jenis kanser yang kerap dihidapi penduduk.

Mengikut laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan, anggaran 10.4 daripada 100,000 penduduk boleh mendapat kanser usus besar. Di negara ini, tiga etnik terbesar iaitu Melayu, Cina dan India mempunyai risiko sama besar untuk terdedah kepada kanser usus.
Bagaimanapun, kanser ini lebih banyak dihidapi masyarakat Cina. Pengambilan makanan yang hampir sama dengan negara maju dipercayai menjadi punca penyakit ini.

Di negara maju, kekerapan mendapat kanser usus akan meningkat selepas usia 50 tahun tetapi di negara kita, mereka yang berusia 40 tahun ke atas terdedah penyakit ini.

Risiko mendapat kanser usus bagi lelaki dan wanita lebih kurang sama tetapi kanser yang menyerang bahagian rektum lebih banyak dihadapi wanita.

Pakar perunding pembedahan Hospital Pantai Klang, Dr Shalizan Torman, berkata kira-kira 80 hingga 85 peratus kanser usus besar disebabkan ‘sporadic’ iaitu pemakanan dan gaya hidup, manakala 10 hingga 15 peratus berpunca daripada genetik iaitu mereka yang mempunyai pertalian keluarga yang pernah mendapat kanser usus turut terdedah kepada penyakit ini.

Gejala biasanya bergantung kepada bagaimana kanser itu terjadi, antaranya:
1) Keluar darah melalui dubur — bergantung kepada di mana usus itu berada. Jika kanser terjadi di bahagian berdekatan dubur, darah yang keluar berwarna merah terang dan cair. Jika berlaku di sebelah kanan, darah biasanya bercampur najis dan ia berwarna lebih pekat.

2) Perubahan tabiat buang air besar. Kadangkala pesakit mengalami cirit-birit dan diselang seli dengan keadaan normal juga sembelit. Pesakit juga kadangkala tidak puas buang air besar iaitu terasa ingin membuang air besar tetapi tiada apa yang keluar.

3) Sakit perut lebih kepada bahagian kiri abdomen.

4) Berat badan berkurangan tanpa sebab.

5) Muka pucat, kurang darah (anemia), letih dan tidak bermaya.

6) Kurang 10 peratus pesakit mengalami penyumbatan usus.
Diagnosis

Beberapa ujian boleh dilakukan untuk mengetahui sama ada kita menghidap penyakit kanser usus iaitu:

1) Faecal Occilt Blood Test (FOBT) atau ujian darah okulta tinja iaitu ujian ringkas bagi mengenal pasti tanda awal kehadiran sel darah merah di dalam najis pesakit.

2) Double Contrast Barium Enema iaitu memasukkan sejenis cecair ke dalam dubur pesakit, kemudian diadakan ujian sinar-X untuk mengesan kanser usus.

3) Flexible Sigmoidoscopy iaitu memasukkan alat yang fleksibel dengan di depannya ada kamera melalui dubur untuk meninjau bahagian kiri abdomen (rektum dan sigmoid iaitu bahagian kiri usus besar).

4) Kolonoskopi iaitu alat yang dimasukkan melalui dubur untuk melihat keseluruhan usus besar.

5) Virtual Colonoscopy iaitu menggunakan komputer dan CT Scan. Pesakit berbaring di dalam ruang khusus untuk imbasan dan komputer akan melihat kemungkinan adanya kehadiran kanser. Bagaimanapun, alat ini belum digunakan dengan meluas.

Menurutnya, seseorang itu biasanya tidak berjumpa doktor kerana tidak mempunyai sebarang gejala diserang kanser usus. Ini menyebabkan kebanyakan penyakit kanser usus berada pada tahap akhir dan sukar diselamatkan kerana pesakit tidak mengalami sebarang gejala.

Di negara maju, ujian saringan kanser usus dilakukan ke atas individu yang tidak mempunyai gejala dilakukan bagi mengesan penyakit itu.

Faktor/risiko untuk mendapat kanser usus:

1) Diet tidak seimbang iaitu mengambil makanan tinggi lemak dalam kuantiti tinggi dan kurang mengambil makanan tinggi serat

2) Obesiti

3) Jika dulu pesakit pernah mengalami kanser kolon tetapi sudah menjalani pembedahan membuang kanser berkenaan

4) Pesakit pernah mempunyai polip dalam usus. Bukan semua polip ada risiko untuk mendapat kanser usus. Cuma satu polip iaitu adenomatous dipercayai penyebab kanser.

5) Usia — risiko mendapat kanser usus bertambah seiring peningkatan usia. Mereka yang berusia 40 tahun ke atas terdedah risiko

6) Gaya hidup sedentari iaitu kurang bersenam

Untuk memudahkan rawatan dilakukan, kita perlu mengklasifikasikan pesakit kepada beberapa peringkat yang dipanggil TNM Classification iaitu:

T (Tumor) — bergantung kepada perbezaan saiz tumor di dinding usus.

N (Nodus) — bergantung kepada berapa banyak kelenjar limfa yang diserang kanser.

M (Metastasis) — kanser merebak di bahagian lain, terutama hati dan paru-paru.

Satu cara lagi untuk membahagikan tahap/peringkat kanser ialah Duke’s Stage. Usus kita mempunyai tiga lapisan iaitu dalam, tengah (otot) dan lapisan luar.

Duke’s A — kanser membabitkan usus dalam saja.

Duke’s B — kanser di lapisan luar tanpa pembabitan kelenjar limfa.

Duke’s C — kanser di lapisan luar dan kelenjar limfa.

Jika Duke’s A, kira-kira 62 hingga 98 peratus pesakit masih hidup dalam tempoh lima tahun. Bagi Duke’s B, kira-kira 55 hingga 78 peratus masih bertahan hidup manakala Duke’s C, anggaran 29 hingga 49 peratus pesakit masih hidup.
Mengurangkan risiko kanser usus:
1) mengamalkan hidup sihat iaitu pengambilan makanan berkhasiat iaitu melebihkan pengambilan sayuran dan buah-buahan

2) mengurangkan makanan mengandungi lemak haiwan seperti kambing dan lembu

3) mengekalkan berat badan seimbang

4) selalu bersenam

5) tidak merokok

6) tidak mengambil minuman beralkohol
Rawatan1) Pesakit ditawarkan supaya pembedahan dilakukan di tempat yang diserang kanser. Jika kawasan terbabit ialah usus kanan, ia dibuang dan usus disambung balik.

2) Kemoterapi — dalam kebanyakan kes, pesakit dicadangkan untuk kemoterapi selepas pembedahan bagi membunuh semua sel kanser yang tidak dapat dilihat di mata kasar.

3) Radioterapi — pancaran untuk membunuh sel kanser bagi kanser rektum.

Oleh: Norainon Othman (MyMetro)

Sel lemak punca Lipoma





Gambar 1: Kaedah pembuangan lipoma membabitkan pembedahan kecil

BENJOLAN kulit yang muncul di badan, apatah lagi dapat dilihat dengan mata kasar, tentunya membuatkan seseorang individu berasa rendah diri dan tidak yakin. Lebih menakutkan jika benjolan ini muncul di tempat seperti tangan, kaki, bahu dan leher.



Gambar 2: Benjolan lipoma di belakang leher

Sesetengah pihak berpendapat benjolan ini bahaya dan lebih kepada risiko kanser, namun tidak kurang juga ada yang mengatakan ia tidak bahaya. Sejauh manakah benjolan yang dikenali sebagai lipoma ini memberi impak dalam kehidupan manusia?

Perunding Bedah Am Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur, Dr Zain Al-Rashid menjelaskan, lipoma adalah sejenis ketumbuhan berasal daripada sel lemak dipanggil lipid yang terbentuk oleh tisu adipose yang lazimnya berlaku di antara kulit dan lapisan otot.

Ia tidak berbahaya dan sangat biasa berlaku, yang mana satu hingga dua peratus orang dewasa di negara ini dilaporkan mengalaminya.

Lipoma dikategorikan sebagai ketumbuhan benigna (tumor bukan barah), tidak merebak atau berbahaya selagi ia tidak berubah menjadi kanser.
“Lipoma jarang memudaratkan dan kemungkinan untuk menjadi kanser hanya 0.05 peratus. Ada perbezaan pendapat mengatakan lipoma punya kapasiti kecil untuk menjadi barah, tetapi sangat jarang, manakala pendapat kedua mengatakan semua lipoma bukan barah.

“Lipoma juga biasanya senang dikesan kerana kebanyakannya berada di bawah kulit dan boleh timbul pada bahagian tubuh, tangan dan kaki serta leher.

“Ia juga boleh berlaku pada kulit kepala, dahi atau di mana saja asalkan ada lapisan tisu adipose,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelasnya, lipoma tidak perlu dibuang dan bergantung kepada keselesaan pesakit. Namun, jika rimas dengan benjolan yang mengganggu penampilan dan bimbang ia melarat walaupun ia bersifat bukan barah, ia boleh dibuang dengan mudah.

“Ketumbuhan lemak boleh berlaku pada semua orang dewasa dan ia jarang terjadi pada kanak-kanak. Sebagaimana ketumbuhan lain, semua orang boleh mendapat lipoma, tetapi orang gemuk mempunyai risiko lebih tinggi. Begitupun, ada juga pesakit di kalangan orang kurus dan ia juga boleh diwarisi.



Gambar 3: Lipoma bersaiz 7 cm selepas dikeluarkan

“Ketumbuhan ini juga unik kerana ia lembut, boleh bergerak (apabila ditekan), tidak melekat pada kulit, tiada simptom dan mengambil masa lama untuk terbentuk.
“Pada amnya, lipoma ada dua bentuk, iaitu bulat dan leper dan saiznya sama seperti duit syiling 20 sen dan 50 sen,” katanya.

Lipoma secara teknikalnya boleh berlaku pada mana-mana kawasan berlemak, termasuk kawasan sekeliling organ seperti buah pinggang dan usus.

Lipoma di bawah kulit tidak menimbulkan masalah, tetapi yang tumbuh di tempat tidak sepatutnya seperti dalam usus, tulang belakang dan hati boleh membawa masalah kerana ia menyebabkannya tersumbat, ulser dan pendarahan.

Ada juga penyakit seperti Sindrom Dercum dan Sindrom Madelung yang dikategorikan sebagai jarang berlaku. Ia boleh dikesan apabila ada banyak tompokan lipoma di serata badan yang biasanya dialami orang minum arak, warga tua dan sering dikaitkan dengan obesiti (tidak semestinya orang gemuk mengalami lipoma tapi boleh mengalami Dercum).

Mereka juga sering mengadu mengalami gejala tidak khusus seperti tidak sihat, pening kepala, sakit perut, mabuk dan sakit sendi yang tiada kena mengena dengan tompokan lemak itu.

“Biasanya pesakit ditumbuhi bukan satu atau dua benjolan lipoma tetapi 20 hingga 30 benjolan. Namun situasi ini jarang berlaku berbanding lipoma biasa yang sering tumbuh di bawah lapisan kulit.

“Penyakit ini juga lebih tertumpu kepada lelaki. Disebabkan ia ketumbuhan biasa di bawah kulit, ramai orang tidak mengambil tahu atau kisah mengenainya.

“Paling penting jika didapati benjolan atau rasa kurang selesa, segera berjumpa doktor kerana ia mungkin bukan ketumbuhan lemak, sebaliknya petanda penyakit lain. Ketumbuhan lemak mudah dikenal pasti dan boleh ditentukan melalui pemeriksaan fizikal saja,” katanya.

Tambahnya lagi, bagi mengenal pasti benjolan itu lipoma atau bukan, pesakit perlu menjalani diagnosis klinikal. Ujian radiologi seperti imbasan ultrasound, imbasan Tomografi Berkomputer atau CT Scan, pengimbas Imej Magnetik (MRI), dilakukan hanya jika lipoma itu menunjukkan tanda luar biasa.

Kes dianggap berbahaya adalah lipoma yang ketika kecilnya tiada sifat radiologikal mencukupi yang menunjukkan ia akan berubah menjadi barah seperti liposarcoma, misalnya yang biasanya mengganggu tempat lain seperti belakang usus dalam badan (sekitar retroperitonial).

Secara umumnya, selagi ia tidak mendatangkan kesakitan atau masalah kesihatan, ketumbuhan lemak ini tidak perlu dibuang.

Namun demikian, keputusan ini tertakluk kepada pilihan setiap individu kerana ramai lebih gemar ketumbuhan lemak dibuang atas faktor kosmetik. Biasanya ia dinasihatkan dibuang jika ukuran garis pusatnya (saiz) melebihi lima sentimeter.

Pembedahan pembuangan ketumbuhan lemak boleh dianggap pembedahan kecil kerana ia membabitkan kaedah bius setempat. Maknanya, pesakit boleh menyaksikan doktor menjalankan pembedahan pembuangan ketulan lemak itu.

Dr Zain turut menasihatkan walaupun tidak berbahaya, lebih baik dibuang kerana jika dibiarkan ia terus membesar. Ketumbuhan ini mungkin boleh menyebabkan masalah lain. Tindakan awal boleh mengurangkan risiko pembedahan jika dilakukan pada peringkat lewat.

Bagi Sarah Ahmad, 24, benjolan yang disedari kewujudannya di sebelah kanan pinggangnya sejak empat tahun lalu tidak diambil peduli kerana tidak menyebabkan kesakitan. Namun semakin hari benjolan itu semakin besar.

“Saya memiliki berat dan tinggi yang ideal namun setiap kali ke kelas, kawan akan tegur dan tanya apakah benjolan yang ada di belakang pinggang di sebelah kanan.
“Ramai juga menasihatkan supaya berjumpa pakar dan buat pemeriksaan selanjutnya. Saya tidak ambil peduli disebabkan tidak menyebabkan kesakitan dan kemudaratan,” katanya ketika dihubungi.

Namun lama-kelamaan Sarah tidak selesa kerana mengalami kesukaran tidur apabila mengiring ke sebelah kanan. Selepas mendapat nasihat keluarga dan rakan, akhirnya Sarah menemui pakar sebuah hospital di ibu negara.

Selepas didiagnosis, nyata benjolan itu adalah lipoma. Doktor turut mengesyorkan Sarah membuang benjolan itu, apatah lagi hanya pembedahan biasa dilakukan.

“Selepas dibius, saya tidak merasa apa-apa sehingga selesai dibedah. Meskipun pembedahan itu meninggalkan parut, tapi paling penting benjolan itu hilang dan saya berasa lebih selesa dan yakin.

“Kini saya bebas dan tiada lagi benjolan yang mengganggu. Kepada yang mempunyai benjolan ini, segera buat pembedahan kerana itu jalan terbaik bagi mengelakkan ia terus membesar,” katanya.
Pembedahan lipoma hanya perlu jika:•Mula sakit dan rasa lembut bila disentuh
•Terkena jangkitan atau radang berulang kali
•Menghasilkan bau dan lelehan kurang menyenangkan
•Mengganggu pergerakan atau fungsi
•Saiz bertambah besar
•Menjejaskan daripada segi kosmetik, seperti ketara di tangan dan dahi
Tisu adipose•Tisu atau lemak dalam badan
•Ia berperanan penting bagi penyimpanan tenaga dalam bentuk lemak
•Ia turut bertindak sebagai ‘pelapik’ dan memberi haba kepada badan
•Biarpun terletak di bawah kulit, ia turut ditemui di sekitar organ dalaman badan

Credit: MyMetro