Tangkis virus kanser serviks


Gaya hidup bebas yang amalan kebanyakan remaja terutama perempuan, memungkinkan mereka lebih terdedah kepada risiko mendapat barah pangkal rahim atau kanser serviks.

Di seluruh dunia, seorang wanita meninggal dunia akibat kanser serviks dalam setiap dua minit. Kanser ini disebabkan pelbagai faktor antaranya, jangkitan kuman papillomavirus (HPV) iaitu penyakit kelamin, kurang menjaga kebersihan alat sulit, mempunyai pasangan seks yang ramai, memulakan perhubungan seks pada usia muda, merokok dan bebeberapa sebab lain. Di Malaysia, kanser serviks adalah barah ketiga paling kerap berlaku kepada wanita.

Justeru, bagi menimbulkan kesedaran mengenai bahaya penyakit ini, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) bersama GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd (GSK) dan jenama fesyen tempatan Kitschen menganjurkan kempen Pencegahan Kanser Serviks.

Ia lanjutan kempen Power Over Cervical Cancer (POCC) dilancarkan pada Julai 2009, dengan matlamat mewujudkan kesedaran berkekalan mengenai pangkal rahim dan pada masa sama menggalakkan wanita berbincang dengan pakar kesihatan serta mendapatkan perlindungan.

Pegawai Perubatan Pusat Pengesanan Kanser Malaysia NCSM, Dr Dalilah Kamaruddin berkata, kempen kesedaran dan pendidikan boleh melengkapkan orang ramai dengan maklumat dan pengetahuan mengenai kanser serviks.

“Memandangkan statistik ini sangat membimbangkan, wanita perlu ambil tahu kerana kanser serviks sebenarnya boleh dicegah.

“Sebagai penyokong terhadap diri sendiri, mereka perlu bertanggungjawab untuk kesihatan dan membuat keputusan untuk melindungi diri.

“Golongan wanita harus peka dengan keadaan diri mereka. Jika merasa sesuatu yang tidak kena, segera berjumpa doktor bagi mengelakkan perkara lebih buruk berlaku. Mereka yang berisiko antara usia 45 hingga 60 tahun.

“Selain itu, mereka yang gemar bertukar-tukar pasangan juga berisiko tinggi mendapat kanser ini, selain melakukan hubungan seks pada usia terlalu muda,” katanya pada majlis itu di ibu negara, baru-baru ini.

Dianggarkan 1,500 wanita negara ini disahkan mendapat kanser serviks setiap tahun. Kanser serviks menyumbang enam peratus daripada jumlah kematian akibat kanser di kalangan wanita.

Di kalangan golongan etnik, kaum India yang tertinggi mengalami kanser serviks pada kadar 10.3 bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Cina pada kadar 9.5 dan Melayu pada kadar 5.3.

Sementara itu, Pengarah Unit Bisnes, Vaksin, dan Urusan Kerajaan (GSK), Henri Ataki berkata, wanita sememangnya memainkan peranan sangat penting dalam kehidupan.

“Kita ada ibu, kakak, adik isteri, anak perempuan dan teman wanita, justeru kami rasa bertanggungjawab menyebarkan mesej ini kepada semua wanita,” katanya.
Enam selebriti yang juga duta POCC turut sama menjayakan majlis ini iaitu Pamela Chong, Vanessa Chong, Sarimah Ibrahim, Shelby Kho, Rina Omar dan Genevieve Sambhi.



Sebab terjadi kanser serviks

Ia disebabkan virus HPA yang berjangkit melalui hubungan seks. Apabila wanita terdedah kepada HPV, sistem imun badan selalunya dapat menangkis serangan virus ini daripada menjangkiti wanita tetapi bagi sebahagian kecil wanita, virus berpeluang hidup bertahun-tahun sehingga ia menukar sel pada permukaan serviks kepada sel kanser. Separuh daripada kanser ini terjadi pada mereka yang berusia di antara 35 hingga 55 tahun.


Tanda dan gejala:
  • Pendarahan ketika melakukan hubungan seks
  • Pendarahan pada pertengahan bulan
  • Pendarahan selepas menopaus
  • Keluar lendir berdarah yang busuk daripada faraj
  • Sakit ketika melakukan hubungan seks

Wanita yang berisiko mendapat kanser serviks:
  • Mempunyai lebih daripada seorang pasangan
  • Mula aktif hubungan seks sebelum usia 18 tahun
  • Mengalami jangkitan kuman seperti sifilis, gonorea, chlamydia atau HIV
  • Kurang daya tahan imun
  • Merokok
Ujian pap smear

Doktor akan mengambil sedikit tisu pada permukaan serviks dan hantar ke makmal. Ujian ini akan mengesan sebarang keganjilan pada servik seperti sel pra barah.

Ujian ini digalakkan dilakukan setiap tahun bagi mengesan kanser peringkat awal yang mungkin boleh menyelamatkan nyawa.

Ujian HPV

Ujian ini boleh mengesan kuman HPV yang spesifik terhadap kanser serviks seperti strain 16 dan 18, iaitu penyebab utama kanser pangkal rahim.

Colposcopy

Doktor akan menggunakan mikroskop khas untuk memeriksa pangkal rahim. Jika ada, sedikit biopsi akan diambil dan dihantar ke makmal.

Kadangkala biopsi kon akan dibuat jika didapati sel barah merebak lebih jauh ke dalam.
Sumber: HIDAYATUL AKMAL AHMAD (mymetro)

Diabetes: Lindungi kaki anda daripada pemotongan




Kebas, rasa panas, berdenyut-denyut dan rasa sakit di lengan, paha, tangan atau kaki antara tanda biasa penyakit neuropati diabetes atau kerosakan saraf.

Kira-kira 60 hingga 70 peratus penghidap diabetes mempunyai beberapa jenis kerosakan saraf. Walaupun paras gula darah anda normal atau anda menghidapi pra-diabetes (mereka yang mempunyai paras glukosa tinggi tetapi tidak cukup tinggi untuk diklasifikasikan sebagai penghidap diabetes), tidak terlalu awal untuk mula memberi perhatian kepada saraf kerana kerosakan saraf boleh bermula seawal peringkat pra-diabetes lagi.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) Ke-4 (2011) menunjukkan seorang daripada lima orang dewasa Malaysia menghidap diabetes. Ini perbezaan besar berbanding NHMS pertama (1986) hanya 6.3 peratus (%).


Kerosakan saraf disebabkan diabetes

Meskipun denyutan, rasa kebas atau sakit di hujung kaki atau tangan adalah tanda biasa neuropati, ada individu tidak mengalami gejala. Neuropati berkaitan diabetes boleh menjejaskan kekuatan otot, sensasi di pelbagai bahagian badan, malah fungsi seksual.

Neuropati periferal iaitu komplikasi diabetes paling biasa, boleh menyebabkan rasa kebas atau sakit di paha, kaki, jari kaki, lengan dan tangan.

Jenis neuropati lain ialah neuropati autonomik yang boleh merosakkan fungsi sistem penghadaman, mengakibatkan cirit-birit atau sembelit serta melemahkan fungsi pundi kencing. Ia turut mempengaruhi cara berpeluh, malah menjejaskan kesihatan seksual.

Neuropati proximal pula mungkin menyebabkan lemah pada kaki dan sakit pada pinggang, punggung dan paha, manakala neuropati fokal boleh menyerang urat saraf dalam badan dan sering menyebabkan kelemahan secara tiba-tiba. Rencana ini memberi fokus terhadap neuropati periferal.


Lindungilah kaki anda

Neuropati periferal sering berlaku di kaki. Antara gejala ialah kehilangan rasa di kaki atau lebih berkemungkinan mengalami kecederaan, berjalan secara tidak normal dan mempunyai kudis diabetes yang tidak mahu sembuh. Kudis ini kemudian memburuk dan seterusnya mengakibatkan anggota kaki atau paha anda dipotong.

Risiko pemotongan kaki adalah 27.7 kali lebih besar bagi penghidap diabetes berbanding orang biasa. Lebih menakutkan, 50% daripada semua pemotongan anggota berlaku pada penghidap diabetes. Itu sebabnya penghidap diabetes perlu sentiasa menjaga kaki mereka.


Rawatan adalah berlainan

Disebabkan setiap neuropati berbeza, rawatannya juga berbeza dan anda perlu meminta nasihat doktor untuk penyelesaian terbaik.

Bagaimanapun, rawatan bagi mana-mana penyakit neuropati akan bermula dengan usaha mengawal paras glukosa darah anda.

Pemantauan gula darah secara kerap, perancangan makanan, kegiatan fizikal, pengambilan ubat secara oral atau insulin membantu mengawal paras glukosa darah. Ia mungkin mengambil sedikit masa tetapi umumnya, gejala semakin berkurangan apabila pengawalan glukosa yang baik dilaksanakan.

Pengawalan gula darah yang baik juga boleh membantu mencegah atau melambatkan datangnya masalah selanjutnya.

Saintis Jepun mendapati saraf rosak boleh dipulihkan semula dengan mengambil sejenis suplemen mudah, dikenali sebagai mecobalamin atau methylcobalamin, bentuk vitamin B12 yang aktif.


Mecobalamin memulihkan saraf yang rosak

Mecobalamin adalah bentuk Vitamin B12 yang aktif dari segi neurologi. Dengan mecobalamin, hepar boleh melangkau proses menukar B12 yang tidak aktif – cyanocobalamin – kepada mecobalamin, kerana ia aktif dari segi oralnya. Mecobalamin melindungi penyakit neurologi (saraf) dan penuaan melalui satu mekanisme unik, yang berbeza dengan terapi semasa.

Sesetengah gangguan yang mungkin boleh dicegah atau dirawat menggunakan terapi vitamin semula jadi ini termasuk neuropati periferal.

Ambil sebiji kapsul 500 mikrogram (mcg) tiga kali sehari untuk membantu menggalakkan pertumbuhan saraf sihat dan mengelak proses degenerasi (penuaan) sistem saraf.


Petua mendapatkan paras gula darah yang lebih sihat:
  • Kurangkan berat badan
Berat badan berlebihan harus dikurangkan dan ia boleh dilakukan dengan amalan pemakanan umum yang sihat serta aktif dari segi fizikal.
  • Anda mesti selalu aktif dari segi fizikal
Tidak perlu bertungkus-lumus dengan senaman berat di gimnasium, malah berjalan kaki atau menggunakan tangga daripada menaiki lif sebenarnya boleh membantu.
  • Elak pengambilan pencuci mulut yang manis
Elak makan kuih-muih, ais kacang, cendol atau makanan manis. Kurangkan memakan coklat kerana ia jelas tidak sihat dan merosakkan kesihatan anda. Mengikut Persatuan Jantung Amerika (AHA), pengambilan gula yang tinggi dikaitkan dengan keadaan kesihatan tidak baik, termasuk kegemukan, diabetes, tekanan darah tinggi, radang, paras trigliserida yang tinggi dan semuanya adalah faktor risiko penyakit jantung dan strok.
  • Selalu pilih bijirin lengkap
Gantikan beras putih dengan beras perang dan pastikan pasta anda diperbuat daripada gandum penuh. Jika anda diberi pilihan, pilih capati daripada roti canai, dan makan roti gandum penuh berbanding roti gandum putih.
  • Kurangkan minuman manis
Mengurangkan pengambilan minuman bergula langkah yang sangat penting untuk mewujudkan paras gula darah yang lebih sihat. Ini termasuk semua minuman ringan yang berkarbonat, jus buahan segar dan teh tarik. Kini ada beberapa jenis minuman kopi putih ‘tiga dalam satu’ tanpa gula, coklat malt dan oat dan bijirin yang dimaniskan dengan stevia, sejenis pemanis semula jadi.
Ia boleh didapati di kedai farmasi persendirian terkemuka, kedai farmasi berangkai terpilih, kedai runcit dan pasar mini di seluruh negara. Minuman 3 dalam 1 bebas gula adalah pilihan lebih sihat!

Ketahui tanda awal leukemia


Ibu bapa, cuba perhatikan sama ada anak anda mudah letih, nafas pendek, mudah terkena jangkitan penyakit, lebam di badan dan hilang selera makan. Jika jawapannya ya, segera bawa anak berjumpa doktor kerana ia mungkin tanda awal penyakit leukemia.
Leukemia ialah satu daripada barah yang berpunca daripada pertambahan sel darah putih. Ini memudaratkan kesihatan kerana boleh menyebabkan kerosakan sel darah merah.
Ini memudahkan jangkitan, mengurangkan sel darah putih matang selain membantutkan pertumbuhan platelet iaitu bahan utama dalam kandungan darah.

Pakar Pediatrik Hospital Columbia Asia, Dr Khairul Zaman Omar berkata, tiada sebab mutlak seseorang diserang leukemia, namun ia boleh berlaku disebabkan beberapa faktor.


“Antara faktor kanak-kanak dijangkiti leukemia ialah sejarah keluarga yang mengalami sakit sama atau barah, pernah terkena jangkitan virus Epstein-Barr (tidak semua), selepas membuat rawatan kemoterapi dan mengalami penyakit sindrom Down, sindrom fragile-X (sindrom reput-X) serta sindrom Fanconi.

“Jika tidak dirawat segera, ia boleh menyebabkan maut. Meskipun selepas rawatan, perlu sentiasa diawasi kerana leukemia menyebabkan sistem imunisasi pesakit lemah dan tidak normal, malah mudah terkena jangkitan kuman, misalnya fungus,” katanya, baru-baru ini.

Menurutnya, seawal bayi lahir, ia mempunyai risiko dijangkiti leukemia, malah antara lelaki dan wanita, risiko diserang leukemia adalah sama.



“Leukemia boleh berlaku kepada sesiapa saja, sama ada kanak-kanak mahupun dewasa. Orang dewasa lebih berisiko mendapat penyakit ini apabila sering terdedah kepada sinaran.

“Ini termasuk orang yang terselamat dalam letupan bom atom di Jepun, mereka yang terdedah kepada sinaran radiasi selepas bencana loji nuklear Chernobyl, dan mereka yang menerima sinaran pada jumlah banyak sewaktu menjalani rawatan perubatan tertentu pada masa lalu,” katanya.

Di kawasan tertentu dunia, seperti barat daya Jepun, bahagian Afrika dan Caribbean, sejenis leukemia tertentu boleh merebak di kalangan penduduk tempatan disebabkan virus dikenali sebagai Human T cell lymphotropic virus (HTLV).


Jenis leukemia

Leukemia boleh terjadi dalam beberapa bentuk. Sesetengah bentuk timbul serta-merta dan berkembang dengan cepat dalam masa beberapa hari atau beberapa minggu yang dipanggil leukemia akut.

Manakala yang berkembang dengan kadar perlahan dalam masa beberapa bulan atau beberapa tahun pula dipanggil leukemia kronik.

Penyakit leukemia dinamakan mengikut jenis sel darah putih yang terbabit. Leukemia mieloid ialah yang membabitkan granulosit (satu daripada sekumpulan darah putih yang mengandungi bintil dalam sitoplasma); leukemia limfoid membabitkan limfosit (sel darah putih di nodus limfa, limpa, kelenjar timus, dinding usus dan sumsum tulang).


1) Leukemia limfoid akut (Acute lymphoid leukaemia)

Leukemia limfoid akut lebih lazim pada kanak-kanak dan peratusan yang kecil di kalangan orang dewasa. Ia menjejaskan limfosit yang belum matang.

Limfosit yang normal bertanggungjawab melawan jangkitan apabila bakteria atau virus menyerang tubuh, limfosit bertindak balas dengan menghasilkan antibodi atau sel pembunuh limfosit yang khas.


2) Leukemia limfoid kronik (Chronic lymphoid leukaemia)

Leukemia ini juga menjejaskan limfosit tetapi berkembang dengan lebih perlahan daripada leukemia limfoid akut. Penyakit ini menyerang orang dewasa, tetapi tidak dikesan pada kanak-kanak.

Penyakit ini berkembang dengan lebih perlahan, oleh itu sel normal tidak terhimpit dan ditolak keluar dengan cepatnya berbanding leukemia limfoid akut.

Jika menghidapi leukemia limfoid kronik, anda mungkin tidak mengalami sebarang gejala hinggalah peringkat lanjut penyakit ini.


3) Leukemia mieloid akut (Acute myeloid leukaemia)

Leukemia ini biasanya menyerang orang dewasa, tetapi boleh terjadi pada kanak-kanak dan remaja. Ia menjejaskan sel mieloid yang dipanggil granulosit.

Penyakit ini menghasilkan sel mieloid yang masih muda dalam jumlah yang berlebihan dan menyebabkan kekurangan sel mieloid matang. Sel ini boleh menyekat saluran darah.


4) Leukemia mieloid kronik (Chronic myeloid leukaemia)

Leukemia jenis ini boleh terjadi pada semua peringkat umur tetapi paling jarang dikesan pada usia di bawah 20 tahun. Ia menghalang sel mieloid daripada berfungsi dengan betul.

Ia berlaku dalam dua peringkat iaitu berlakunya pembahagian sel abnormal secara perlahan. Kemudian, ia boleh dengan cepatnya berubah ke peringkat akut.

Rawatan


  •  Kemoterapi.
  •  Rawatan komplikasi seperti jangkitan kuman memerlukan antibiotik.
  •  Rawatan pemindahan sum-sum tulang.

  • Sumber: HIDAYATUL AKMAL AHMAD (mymetro)

    Masalah peranakan jatuh



    Masalah peranakan jatuh sering kita dengar orang bergurau, ‘perempuan tak elok mengangkat barang berat, nanti jatuh peranakan’. Tanpa mengetahui lebih jelas apa yang dimaksudkan dengan ‘peranakan jatuh’, ayat berkenaan sering berlegar dalam kalangan masyarakat kita.

    Peranakan atau rahim iaitu tempat janin membesar, terletak di dalam pelvis dan disokong oleh otot, jaringan dan ligamen.

    Proses kehamilan dan melahirkan anak boleh menyebabkan otot dan ligamen yang menyokong rahim menjadi lemah, mengakibatkan ia jatuh dan kadangkala terkeluar dari saluran faraj.

    Rahim jatuh atau dikenali sebagai prolaps rahim boleh berlaku dalam pelbagai peringkat. Pada peringkat awal, rahim hanya jatuh sedikit daripada kedudukan biasa, peringkat kedua apabila pintu rahim jatuh sampai ke permukaan faraj manakala peringkat ketiga, keadaan yang sangat teruk iaitu apabila keseluruhan rahim terkeluar daripada saluran vagina dan permukaan.


    Foto
    OBESITI antara punca peranakan jatuh.

    Ketua Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Dr Rozihan Ismail berkata, ramai wanita yang mengalami masalah kekenduran rahim akan menghadapi masalah urinari seperti kerap kencing dan sukar hendak mula kencing.

    Lebih menyulitkan, masalah kekenduran organ reproduksi ini akan menyebabkan wanita terbabit sukar mengawal kencing, terutama apabila batuk, bersin atau sebarang perbuatan yang menyebabkan tekanan dalam perut meningkat seperti ketawa atau ketika hendak berdiri selepas sujud sewaktu solat.

    “Air kencing akan keluar dengan sendiri tanpa dapat dikawal. Keadaan ini mengganggu tugas harian dan kehidupan wanita terbabit.

    “Dalam kes prolaps rahim yang teruk atau peringkat ketiga (keseluruhan rahim terkeluar), sering kali pintu rahim bergesel pada seluar dalam menyebabkan luka. Luka ini boleh dijangkiti kuman menyebabkan keputihan atau pengeluaran lendir yang banyak.

    “Tanpa rawatan yang betul, ketumbuhan akan berlaku akibat pergeselan berpanjangan dan meningkatkan risiko menghidap kanser serviks (barah pangkal rahim),” katanya pada Seminar Kesihatan Wanita anjuran QRS Asia Sdn Bhd dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan HTAA, baru-baru ini.


    PENCEGAHAN:

    1. Kawal berat badan

    2. Mengamalkan senaman menguatkan otot lantai pelvik (senaman Kegel)

    3. Ada juga alat bantuan (Vaginal Cone) yang dapat membantu dalam mendapatkan proses senaman berkesan.

    4. Teknologi moden memperkenalkan mesin yang sangat berkesan membantu menguatkan otot lantai pelvik dan memulihkan kedudukan organ peranakan wanita seperti alat stimulasi magnetik.

    Sementara itu, Pensyarah Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan UIAM, Prof Madya Dr Zalina Nusee berkata, inkontinen urin ialah kebocoran air kencing di luar kawalan atau masalah lemah kawalan pundi kencing yang boleh berlaku pada wanita semua peringkat umur.

    Mungkin dianggap perkara biasa yang tidak membahayakan kesihatan, tidak ramai wanita tampil mendapatkan rawatan. Hanya 30 peratus wanita yang mengalami masalah ini datang ke klinik.

    Jenis kebocoran kencing:

    1. Kebocoran kencing tekanan
    2. Kebocoran kencing gesa
    3. Kebocoran campuran
    4. Kebocoran limpahan
    5. Kebocoran kencing upaya

    Faktor risiko:

    1. Proses kehamilan
    2. Kelahiran biasa, terutama penggunaan alat bantuan seperti forsep atau vacum
    3. Kongenital/baka
    4. Obesiti
    5. Merokok
    5. Pembedahan histerektomi (buang rahim)
    6. Menopaus
    7. Lanjut usia


    Menurutnya, kebocoran kencing berpunca daripada lantai pelvik yang lemah dan tidak berupaya menutup uretra (leher pundi kencing) ketika batuk, bersin atau aktiviti lain yang mengakibatkan peningkatan tekanan di rongga pelvik. Kebocoran kencing juga boleh berlaku ketika mengadakan hubungan kelamin, aktiviti riadah atau solat.

    Rawatan konservatif berkesan untuk kes yang ringan dengan senaman lantai pelvik. Bagi kes serius, rawatan pembedahan diperlukan. Tiada ubatan berkesan untuk rawatan kebocoran ini.

    “Pundi kencing terlebih aktif ialah masalah penyimpanan air kencing dengan gejala utama iaitu desakan ingin membuang air kecil secara tiba-tiba ketika individu itu belum betul-betul bersedia.

    “Gejala lain termasuk kerap buang air kecil, biasanya lebih lebih lapan kali sehari dalam masa 24 jam dan bangun malam untuk buang air kecil.

    “Ia juga mungkin menyebabkan kebocoran kencing gesa iaitu pesakit tidak sempat sampai ke tandas yang berpunca daripada otot detrusor pundi kencing terlebih aktif,” katanya.

    Masalah ini dirawat dengan pengambilan ubatan, mengubah suai cara hidup dan fisioterapi. Jarang sekali pembedahan diperlukan dalam kes ini.

    Ada juga wanita yang mengalami kedua-dua masalah (kebocoran kencing tekanan dan gesa) dan biasanya kes ini akan dirawat menggunakan ubatan dan fisioterapi. Pembedahan akan dijalankan jika rawatan ubatan dan fisioterapi gagal.

    Pengarah Operasi QRS Cellvital Kuantan, Shahrill Sabarudin berkata, satu kaedah baru untuk memperbaiki dan menguatkan fungsi serta koordinasi lantai pelvik ialah menggunakan teknologi Trans Pelvic Magnetic Stimulation (TPMS). Kaedah itu tidak menggunakan ubat, pembedahan dan tiada kesan sampingan.

    Apakah kaedah rehabilitasi lantai pelvik TPMS?

    Kaedah rehabilitasi ini menggunakan denyutan gelombang elektromagnet berkuasa tinggi tetapi selamat digunakan. Ia dihalakan terus kepada lantai pelvik tanpa pesakit perlu membuka pakaian.

    Denyutan elektromagnet ini akan melatih otot lantai pelvik yang terbabit dalam keseluruhan fungsi sistem urinari dan membolehkan ia mencapai koordinasi betul dan kekuatan diperlukan untuk memulihkan sebarang masalah berkaitan kerosakan otot lantai pelvik.

    TPMS yang merangsang senaman Kegel automatik juga mampu menyelaraskan kembali isyarat pundi kencing yang rosak disebabkan radang pada otot detrusor pundi kencing, selain memulihkan masalah gesaan kencing.
    Sumber: Norainon Othman (MyMetro)