Puasa Tingkat Imuniti Tubuh

Puasa tingkat imuniti tubuh
Puasa tingkat imuniti tubuh

Puasa Tingkat Imuniti Tubuh


Ibadah puasa adalah rukun Islam ketiga yang wajib dilaksanakan oleh semua umat Islam kecuali atas beberapa pengecualian tertentu.


Kewajipan berpuasa dalam bulan Ramadan berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 183 : “Hai orang-orang beriman, telah diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bertakwa.”

Puasa mempunyai banyak hikmah dari sudut kesihatan yang perlu kita fahami dan yakini kerana syariat Allah membawa kebaikan kepada manusia seluruhnya. Kajian sains menunjukkan berpuasa mempunyai banyak faedah kesihatan.

Puasa memberikan kesan positif kepada kesihatan psikologi dan fizikal. Puasa yang betul akan membantu kita menurunkan berat badan. Puasa juga membantu sistem pencernaan untuk penghadaman lebih sempurna dengan memberi kerehatan kepada sistem pencernaan ketika berpuasa. Kajian juga mendapati puasa boleh membantu mengawal tekanan atau stres dengan memberi ketenangan psikologi dan bersabar.

Fokus pada ibadah dan memperbanyakkan membaca al-Quran membuatkan kadar tekanan menurun. Stres yang tinggi dan tidak terkawal punca kepada pelbagai jenis penyakit seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, kemurungan dan sebagainya.

Diharap kedatangan Ramadan ini kadar stres kita akan menurun dan memberikan impak positif kepada kesihatan kita secara umumnya.

Berpuasa juga boleh membantu mengawal masalah kolesterol berlebihan. Kajian oleh pakar jantung di Asia Barat mendapati ketika Ramadan, paras kolesterol dalam darah menjadi lebih baik dengan peningkatan paras kolesterol baik HDL dan penurunan paras kolesterol LDL. Ini memberikan kesan positif kepada kesihatan jantung.

Pesakit diabetes akan mendapat kelebihan dengan paras glukosa darah yang lebih terkawal dengan berpuasa. Pesakit diabetes perlu berjumpa dengan doktor dan mendapatkan nasihat tepat bagaimana untuk mengubah jadual penggunaan ubat mereka semasa bulan Ramadan untuk mengelakkan masalah kekurangan glukosa dalam darah yang drastik iaitu ‘hypoglycemia’

Berpuasa juga meningkatkan sensitiviti insulin kepada sel-sel tubuh dan ia membantu menyeimbangkan sistem metabolisme tubuh dengan mengawal paras gula dengan lebih baik untuk pesakit diabetes jenis 2.

Pada 1994, Persidangan Antarabangsa kali pertama untuk Kesihatan dan Ramadan di Casablanca, Maghribi yang membentangkan 50 kertas kajian oleh pakar-pakar dari seluruh dunia mengenai kelebihan berpuasa kepada kesihatan.

Pelbagai kajian membuktikan berpuasa baik untuk kesihatan dan kesejahteraan umum tubuh manusia dan didapati tiada satu pun kajian menunjukkan kesan buruk berpuasa kepada kesihatan.

Bagaimanapun, pesakit yang menghidap penyakit kronik teruk seperti sakit jantung, kegagalan buah pinggang, strok dan sebagainya dinasihatkan tidak berpuasa.

Berpuasa akan meningkatkan fungsi hati dan proses detoksifikasi tubuh kita. Sel-sel tubuh dan organ dalaman kita dapat dibersihkan dari pelbagai toksin yang diserap sepanjang tahun.

Dengan mengawal pemakanan dalam bulan puasa, sel-sel lemak yang terkumpul akan dibakar dan tubuh akan menjadi lebih kurus serta bertenaga. Oleh itu kita tidak makan secara berlebih-lebihan pada waktu malam sepanjang Ramadan ini.

Dalam kajian terbaru dibuat University of Southern California menunjukkan berpuasa selama beberapa jam sehari akan meningkatkan sistem imuniti tubuh manusia dengan penghasilan sel-sel darah putih yang baharu daripada sel-sel ‘stem hemopoietic’.

Oleh itu ia akan membantu meningkatkan imuniti tubuh manusia terutama pesakit yang mengalmiii masalah sistem imuniti yang rendah.

Ramadan bulan ibadah dan bukannya bulan pesta makanan. Ramadan juga bulan latihan dan kawalan diri dari sudut makan, minum, hubungan seksual dan kehendak lain.

Ia akan membantu membentuk disiplin diri yang baik jika dilakukan dengan sempurna. Makanan ketika berbuka perlu dikawal jumlah dan jenisnya.

Jangan terlalu berat ketika berbuka puasa. Berbukalah sebagaimana yang disuruh oleh Rasulullah iaitu makan buah kurma/tamar atau buah-buahan yang manis dahulu.

Selepas solat Maghrib barulah makan makanan yang agak berat dan utamakan sayur-sayuran serta minumlah air secukupnya. Minumlah air mineral atau air kosong dan janganlah amalkan minum air manis dan berkarbonat ketika berbuka puasa. Air manis berkalori tinggi dan mempunyai gula yang banyak yang akan menyebabkan masalah kesihatan di kemudian hari.

Budaya kita di Malaysia dengan pasar Ramadan me­nyumbang kepada masalah makan berlebih-lebihan ketika berbuka. Ini kerana kita akan membeli makanan di pasar Ramadan ketika perut lapar dan kita cenderung membeli makanan secara berlebih-lebihan.

Ambillah peluang dengan kedatangan Ramadan ini dengan menumpukan pada ibadah dan secara tidak langsung mendapat kesihatan yang baik dengan berpuasa. Insya-Allah.