Gaya hidup bebas yang amalan kebanyakan remaja terutama perempuan, memungkinkan mereka lebih terdedah kepada risiko mendapat barah pangkal rahim atau kanser serviks.

Di seluruh dunia, seorang wanita meninggal dunia akibat kanser serviks dalam setiap dua minit. Kanser ini disebabkan pelbagai faktor antaranya, jangkitan kuman papillomavirus (HPV) iaitu penyakit kelamin, kurang menjaga kebersihan alat sulit, mempunyai pasangan seks yang ramai, memulakan perhubungan seks pada usia muda, merokok dan bebeberapa sebab lain. Di Malaysia, kanser serviks adalah barah ketiga paling kerap berlaku kepada wanita.

Justeru, bagi menimbulkan kesedaran mengenai bahaya penyakit ini, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) bersama GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd (GSK) dan jenama fesyen tempatan Kitschen menganjurkan kempen Pencegahan Kanser Serviks.

Ia lanjutan kempen Power Over Cervical Cancer (POCC) dilancarkan pada Julai 2009, dengan matlamat mewujudkan kesedaran berkekalan mengenai pangkal rahim dan pada masa sama menggalakkan wanita berbincang dengan pakar kesihatan serta mendapatkan perlindungan.

Pegawai Perubatan Pusat Pengesanan Kanser Malaysia NCSM, Dr Dalilah Kamaruddin berkata, kempen kesedaran dan pendidikan boleh melengkapkan orang ramai dengan maklumat dan pengetahuan mengenai kanser serviks.

“Memandangkan statistik ini sangat membimbangkan, wanita perlu ambil tahu kerana kanser serviks sebenarnya boleh dicegah.

“Sebagai penyokong terhadap diri sendiri, mereka perlu bertanggungjawab untuk kesihatan dan membuat keputusan untuk melindungi diri.

“Golongan wanita harus peka dengan keadaan diri mereka. Jika merasa sesuatu yang tidak kena, segera berjumpa doktor bagi mengelakkan perkara lebih buruk berlaku. Mereka yang berisiko antara usia 45 hingga 60 tahun.

“Selain itu, mereka yang gemar bertukar-tukar pasangan juga berisiko tinggi mendapat kanser ini, selain melakukan hubungan seks pada usia terlalu muda,” katanya pada majlis itu di ibu negara, baru-baru ini.

Dianggarkan 1,500 wanita negara ini disahkan mendapat kanser serviks setiap tahun. Kanser serviks menyumbang enam peratus daripada jumlah kematian akibat kanser di kalangan wanita.

Di kalangan golongan etnik, kaum India yang tertinggi mengalami kanser serviks pada kadar 10.3 bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Cina pada kadar 9.5 dan Melayu pada kadar 5.3.

Sementara itu, Pengarah Unit Bisnes, Vaksin, dan Urusan Kerajaan (GSK), Henri Ataki berkata, wanita sememangnya memainkan peranan sangat penting dalam kehidupan.

“Kita ada ibu, kakak, adik isteri, anak perempuan dan teman wanita, justeru kami rasa bertanggungjawab menyebarkan mesej ini kepada semua wanita,” katanya.
Enam selebriti yang juga duta POCC turut sama menjayakan majlis ini iaitu Pamela Chong, Vanessa Chong, Sarimah Ibrahim, Shelby Kho, Rina Omar dan Genevieve Sambhi.



Sebab terjadi kanser serviks

Ia disebabkan virus HPA yang berjangkit melalui hubungan seks. Apabila wanita terdedah kepada HPV, sistem imun badan selalunya dapat menangkis serangan virus ini daripada menjangkiti wanita tetapi bagi sebahagian kecil wanita, virus berpeluang hidup bertahun-tahun sehingga ia menukar sel pada permukaan serviks kepada sel kanser. Separuh daripada kanser ini terjadi pada mereka yang berusia di antara 35 hingga 55 tahun.


Tanda dan gejala:
  • Pendarahan ketika melakukan hubungan seks
  • Pendarahan pada pertengahan bulan
  • Pendarahan selepas menopaus
  • Keluar lendir berdarah yang busuk daripada faraj
  • Sakit ketika melakukan hubungan seks

Wanita yang berisiko mendapat kanser serviks:
  • Mempunyai lebih daripada seorang pasangan
  • Mula aktif hubungan seks sebelum usia 18 tahun
  • Mengalami jangkitan kuman seperti sifilis, gonorea, chlamydia atau HIV
  • Kurang daya tahan imun
  • Merokok
Ujian pap smear

Doktor akan mengambil sedikit tisu pada permukaan serviks dan hantar ke makmal. Ujian ini akan mengesan sebarang keganjilan pada servik seperti sel pra barah.

Ujian ini digalakkan dilakukan setiap tahun bagi mengesan kanser peringkat awal yang mungkin boleh menyelamatkan nyawa.

Ujian HPV

Ujian ini boleh mengesan kuman HPV yang spesifik terhadap kanser serviks seperti strain 16 dan 18, iaitu penyebab utama kanser pangkal rahim.

Colposcopy

Doktor akan menggunakan mikroskop khas untuk memeriksa pangkal rahim. Jika ada, sedikit biopsi akan diambil dan dihantar ke makmal.

Kadangkala biopsi kon akan dibuat jika didapati sel barah merebak lebih jauh ke dalam.
Sumber: HIDAYATUL AKMAL AHMAD (mymetro)
Author image
Perhatian!

Artikel di blog ini diambil daripada pelbagai sumber untuk bahan bacaan kepada pembaca blog ini dan tidak boleh dijadikan sebagai bahan rujukan utama. Pihak Admin tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang masalah atau kemudaratan hasil daripada bacaan di blog ini Terima kasih..