Puasa Tingkat Imuniti Tubuh

Puasa tingkat imuniti tubuh
Puasa tingkat imuniti tubuh

Puasa Tingkat Imuniti Tubuh


Ibadah puasa adalah rukun Islam ketiga yang wajib dilaksanakan oleh semua umat Islam kecuali atas beberapa pengecualian tertentu.


Kewajipan berpuasa dalam bulan Ramadan berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 183 : “Hai orang-orang beriman, telah diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bertakwa.”

Puasa mempunyai banyak hikmah dari sudut kesihatan yang perlu kita fahami dan yakini kerana syariat Allah membawa kebaikan kepada manusia seluruhnya. Kajian sains menunjukkan berpuasa mempunyai banyak faedah kesihatan.

Puasa memberikan kesan positif kepada kesihatan psikologi dan fizikal. Puasa yang betul akan membantu kita menurunkan berat badan. Puasa juga membantu sistem pencernaan untuk penghadaman lebih sempurna dengan memberi kerehatan kepada sistem pencernaan ketika berpuasa. Kajian juga mendapati puasa boleh membantu mengawal tekanan atau stres dengan memberi ketenangan psikologi dan bersabar.

Fokus pada ibadah dan memperbanyakkan membaca al-Quran membuatkan kadar tekanan menurun. Stres yang tinggi dan tidak terkawal punca kepada pelbagai jenis penyakit seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, kemurungan dan sebagainya.

Diharap kedatangan Ramadan ini kadar stres kita akan menurun dan memberikan impak positif kepada kesihatan kita secara umumnya.

Berpuasa juga boleh membantu mengawal masalah kolesterol berlebihan. Kajian oleh pakar jantung di Asia Barat mendapati ketika Ramadan, paras kolesterol dalam darah menjadi lebih baik dengan peningkatan paras kolesterol baik HDL dan penurunan paras kolesterol LDL. Ini memberikan kesan positif kepada kesihatan jantung.

Pesakit diabetes akan mendapat kelebihan dengan paras glukosa darah yang lebih terkawal dengan berpuasa. Pesakit diabetes perlu berjumpa dengan doktor dan mendapatkan nasihat tepat bagaimana untuk mengubah jadual penggunaan ubat mereka semasa bulan Ramadan untuk mengelakkan masalah kekurangan glukosa dalam darah yang drastik iaitu ‘hypoglycemia’

Berpuasa juga meningkatkan sensitiviti insulin kepada sel-sel tubuh dan ia membantu menyeimbangkan sistem metabolisme tubuh dengan mengawal paras gula dengan lebih baik untuk pesakit diabetes jenis 2.

Pada 1994, Persidangan Antarabangsa kali pertama untuk Kesihatan dan Ramadan di Casablanca, Maghribi yang membentangkan 50 kertas kajian oleh pakar-pakar dari seluruh dunia mengenai kelebihan berpuasa kepada kesihatan.

Pelbagai kajian membuktikan berpuasa baik untuk kesihatan dan kesejahteraan umum tubuh manusia dan didapati tiada satu pun kajian menunjukkan kesan buruk berpuasa kepada kesihatan.

Bagaimanapun, pesakit yang menghidap penyakit kronik teruk seperti sakit jantung, kegagalan buah pinggang, strok dan sebagainya dinasihatkan tidak berpuasa.

Berpuasa akan meningkatkan fungsi hati dan proses detoksifikasi tubuh kita. Sel-sel tubuh dan organ dalaman kita dapat dibersihkan dari pelbagai toksin yang diserap sepanjang tahun.

Dengan mengawal pemakanan dalam bulan puasa, sel-sel lemak yang terkumpul akan dibakar dan tubuh akan menjadi lebih kurus serta bertenaga. Oleh itu kita tidak makan secara berlebih-lebihan pada waktu malam sepanjang Ramadan ini.

Dalam kajian terbaru dibuat University of Southern California menunjukkan berpuasa selama beberapa jam sehari akan meningkatkan sistem imuniti tubuh manusia dengan penghasilan sel-sel darah putih yang baharu daripada sel-sel ‘stem hemopoietic’.

Oleh itu ia akan membantu meningkatkan imuniti tubuh manusia terutama pesakit yang mengalmiii masalah sistem imuniti yang rendah.

Ramadan bulan ibadah dan bukannya bulan pesta makanan. Ramadan juga bulan latihan dan kawalan diri dari sudut makan, minum, hubungan seksual dan kehendak lain.

Ia akan membantu membentuk disiplin diri yang baik jika dilakukan dengan sempurna. Makanan ketika berbuka perlu dikawal jumlah dan jenisnya.

Jangan terlalu berat ketika berbuka puasa. Berbukalah sebagaimana yang disuruh oleh Rasulullah iaitu makan buah kurma/tamar atau buah-buahan yang manis dahulu.

Selepas solat Maghrib barulah makan makanan yang agak berat dan utamakan sayur-sayuran serta minumlah air secukupnya. Minumlah air mineral atau air kosong dan janganlah amalkan minum air manis dan berkarbonat ketika berbuka puasa. Air manis berkalori tinggi dan mempunyai gula yang banyak yang akan menyebabkan masalah kesihatan di kemudian hari.

Budaya kita di Malaysia dengan pasar Ramadan me­nyumbang kepada masalah makan berlebih-lebihan ketika berbuka. Ini kerana kita akan membeli makanan di pasar Ramadan ketika perut lapar dan kita cenderung membeli makanan secara berlebih-lebihan.

Ambillah peluang dengan kedatangan Ramadan ini dengan menumpukan pada ibadah dan secara tidak langsung mendapat kesihatan yang baik dengan berpuasa. Insya-Allah.

Kencing tikus, Leptospirosis


Penyakit kencing tikus atau nama sainsnya Leptospirosis (sindrom Weil, demam canicola, demam ladang tebu atau demam 7-hari)  ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Leptospira yang disebarkan melalui haiwan. 

Jika tidak dirawat segera, penyakit ini boleh merebak dan membawa maut. Pada mulanya, bakteria ini dikenal pasti datangnya dari tikus. Namun kini, banyak jenis haiwan boleh menjadi perumah bakteria ini, sama ada liar atau peliharaan. 

Haiwan dijangkiti ada kalanya menunjukkan tanda sakit, tetapi sekadar menjadi pembawa dan tidak memindahkan jangkitan. Secara umumnya bakteria Leptospira boleh menjangkiti anjing, tikus dan haiwan liar lain seperti rakun dan serigala.


Punca

Leptospirosis disebabkan oleh bakteria spirochaete yang dikenali sebagai Leptospira Bakteria ini dipindahkan kepada manusia melalui air kencing haiwan yang berfungsi sebagai pembawa seperti tikus, anjing serta kucing. tapi tikus slalu dianggap sebagai pembawa sebenar bakteria ini. tapi haiwan lain jugak boleh menyebabkan jangkitan bakteria ini seperti lembu, kambing, babi, kuda dan haiwan-haiwan lain.

Tempat yang mudah dijangkiti penyakit ini ialah di tebing sungai yang berlumpur, terusan, longkang, kawasan peliharaan ternakan yang berlumpur, taman rekreasi (air terjun atau tempat mandian semulajadi).

Leptospirosis turut disebarkan melalui air mani haiwan dijangkiti. Pekerja rumah penyembelihan boleh dijangkiti melalui sentuhan dengan cecair badan dan darah. Manusia boleh dijangkiti melalui hubungan dengan air, makanan, atau tanah yang mengandungi kencing haiwan yang dijangkiti ini. 

Ini mungkin berlaku dengan menelan makanan atau air yang dicemari, atau melalui sentuhan luka pada kulit. 

Leptospirosis biasa berlaku dikalangan peminat sukan air di kawasan tertentu kerana lama berendam dan ianya menggalakkan kemasukan bakteria ke dalam badan.

Simptom

Terdapat beberapa symptom jangkitan Leptospiral pada manusia. Antaranya termasuklah: 

  • selsema
  • demam yang tinggi
  • badan terasa sejuk
  • sakit kepala yang kuat
  • meningitis
  • kerosakan hati (menyebabkan demam kuning)
  • kegagalan buah pinggang
  • sakit otot
  • muntah-muntah
  • mata merah
  • sakit perut
  • cirit-birit
  • keradangan 
  • kulit melepuh
  • hilang selera makan
  • kurang buang air kecil, air kencing menjadi gelap atau perang luar biasa
  • lesu 
  • batuk tidak berkahak
  • sakit tekak
  • bengkak salut kelenjar
  • ruam
Komplikasi

  • Meningitis
  • Kelesuan melampau
  • Kehilangan pendengaran
  • Masalah pernafasan
  • Azotemia
  • Masalah buah pinggang (renal interstitial tubular necrosis atau kegagalan buah pinggang
  • Masalah kardiovaskular

Diagnosis

Apabila dijangkiti, mikrorganism boleh dijumpai dalam darah pada 7 hingga 10 hari permulaan. kemudiannya berpindah ke buah pinggang. Selepas 7 hingga 10 hari mikrorganism boleh dijumpai dalam kencing segar. 


Pencegahan/rawatan


Doxycycline boleh digunakan bagi menghalang jangkitan bagi pengembara ke kawasan berisiko tinggi.


Gout


Gout adalah sejenis penyakit akibat berlebihan asid urik di dalam badan. Asid urik adalah bahan kumuhan berasal dari sejenis protein yang dipanggil purin. Badan kita membuang bahan kumuhan ini melalui air kencing (urin).


Bagi pengidap gout, asid urik yang berlebihan tidak dibuang dan berkumpul di dalam sendi. Ia adalah salah satu penyakit yang paling lama dihidapi manusia, sejak zaman dahulu kala lagi. Pada masa dahulu gout boleh menyebabkan kemudaratan dan kecacatan, kini dengan kemajuan dalam bidang perubatan, gout boleh dikawal. Ia sering dihidapi oleh kaum lelaki dalam lingkungan usia antara 30 hingga 60 tahun. Ia jarang sekali dihidapi oleh kaum wanita sebelum putus haid.

TANDA GOUT

Gout lazimnya menyerang ibu jari kaki. Ibu jari kaki menjadi merah, panas, bengkak dan tersangat sakit. Serangan selalunya berlaku secara tiba-tiba, kerap kali semalaman. Sendi yang diserang menjadi bisa sehinggakan geseran dengan selimut pun begitu menyeksakan. Sakit mungkin berlarutan berhari-hari, atau sekurang-kurangnya 1-2 minggu untuk reda jika tidak dirawat. Sakit mungkin menyerang kembali selepas berminggu atau bulan. Gout boleh menyerang sendi-sendi lain seperti buku lali, lutut, pergelangan tangan dan jari.

KOMPLIKASI

Asid urik boleh berkumpul di bawah kulit membentuk benjolan di panggil ’tophi’. Dalam saluran urinari (air kencing), ia boleh berkumpul membentuk ’batu karang’. Penghidap gout juga sering menghidapi penyakit atau masalah kesihatan lain seperti kegemukan, darah tinggi, Hiperlipidemia dan Diabetes

RAWATAN

Gout adalah suatu penyakit yang boleh sembuh tetapi anda harus mengambil langkah-langkah untuk mengatasinya. Antaranya ialah melalui Rawatan serangan akut dan Rawatan Jangka Panjang.

Oleh kerana gout disebabkan oleh asid urik yang berlebihan dalam badan, anda haruslah mengelakkan faktor-faktor yang boleh menambahkan paras asid urik.

PEMAKANAN

Di bawah disenaraikan makanan yang kaya dengan purin:.

ELAKKAN MAKANKURANGKAN MAKAN Organ dalaman seperti hati, paru-paru, ginjal dan otak Ikan bilis, kembung, sardin Daging cincang Ekstrak daging, ragi (seperti Marmite) dan kiub rebusan daging Makanan bercengkerang seperti ketam, udang dan kerang Asparagus, bunga kobis, cendawan dan bayam Peanuts, lentil, beans and peas Poultry Roti jagung dan bijirin.

PENCEGAHAN
  1. Rehatkan sendi semasa serangan gout.
  2. Ubat-ubatan anti-radang berkesan untuk mengurangkan sakit dan keradangan sendi. Walaupun ia boleh mendatangkan kesan sampingan seperti sakit perut. Jika digunakan dalam jangka masa yang singkat, kesan sampingan jarang berlaku.
  3. Sentiasa peka terhadap tanda-tanda awal serangan. Jika rawatan dimulakan awal, penyakit ini tidak akan melarat.
  4. Menjaga berat badan – kegemukan boleh mengganggu keupayaan badan untuk mengeluarkan asid urik yang berlebihan
  5. Mengelakkan minuman keras
  6. Pemakanan – elakkan pengambilan makanan yang mengandungi purin yang tinggi. Sesetengah daging binatang, makanan laut, kekacang mengandungi purin yang tinggi.
  7. Ubah cara hidup anda untuk memastikan paras asid urik yang normal.
  8. Amalkan cara hidup sihat untuk mengelak dari menghidap penyakit-penyakit yang berhubungkait dengan gout.

Tangkis virus kanser serviks


Gaya hidup bebas yang amalan kebanyakan remaja terutama perempuan, memungkinkan mereka lebih terdedah kepada risiko mendapat barah pangkal rahim atau kanser serviks.

Di seluruh dunia, seorang wanita meninggal dunia akibat kanser serviks dalam setiap dua minit. Kanser ini disebabkan pelbagai faktor antaranya, jangkitan kuman papillomavirus (HPV) iaitu penyakit kelamin, kurang menjaga kebersihan alat sulit, mempunyai pasangan seks yang ramai, memulakan perhubungan seks pada usia muda, merokok dan bebeberapa sebab lain. Di Malaysia, kanser serviks adalah barah ketiga paling kerap berlaku kepada wanita.

Justeru, bagi menimbulkan kesedaran mengenai bahaya penyakit ini, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) bersama GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd (GSK) dan jenama fesyen tempatan Kitschen menganjurkan kempen Pencegahan Kanser Serviks.

Ia lanjutan kempen Power Over Cervical Cancer (POCC) dilancarkan pada Julai 2009, dengan matlamat mewujudkan kesedaran berkekalan mengenai pangkal rahim dan pada masa sama menggalakkan wanita berbincang dengan pakar kesihatan serta mendapatkan perlindungan.

Pegawai Perubatan Pusat Pengesanan Kanser Malaysia NCSM, Dr Dalilah Kamaruddin berkata, kempen kesedaran dan pendidikan boleh melengkapkan orang ramai dengan maklumat dan pengetahuan mengenai kanser serviks.

“Memandangkan statistik ini sangat membimbangkan, wanita perlu ambil tahu kerana kanser serviks sebenarnya boleh dicegah.

“Sebagai penyokong terhadap diri sendiri, mereka perlu bertanggungjawab untuk kesihatan dan membuat keputusan untuk melindungi diri.

“Golongan wanita harus peka dengan keadaan diri mereka. Jika merasa sesuatu yang tidak kena, segera berjumpa doktor bagi mengelakkan perkara lebih buruk berlaku. Mereka yang berisiko antara usia 45 hingga 60 tahun.

“Selain itu, mereka yang gemar bertukar-tukar pasangan juga berisiko tinggi mendapat kanser ini, selain melakukan hubungan seks pada usia terlalu muda,” katanya pada majlis itu di ibu negara, baru-baru ini.

Dianggarkan 1,500 wanita negara ini disahkan mendapat kanser serviks setiap tahun. Kanser serviks menyumbang enam peratus daripada jumlah kematian akibat kanser di kalangan wanita.

Di kalangan golongan etnik, kaum India yang tertinggi mengalami kanser serviks pada kadar 10.3 bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Cina pada kadar 9.5 dan Melayu pada kadar 5.3.

Sementara itu, Pengarah Unit Bisnes, Vaksin, dan Urusan Kerajaan (GSK), Henri Ataki berkata, wanita sememangnya memainkan peranan sangat penting dalam kehidupan.

“Kita ada ibu, kakak, adik isteri, anak perempuan dan teman wanita, justeru kami rasa bertanggungjawab menyebarkan mesej ini kepada semua wanita,” katanya.
Enam selebriti yang juga duta POCC turut sama menjayakan majlis ini iaitu Pamela Chong, Vanessa Chong, Sarimah Ibrahim, Shelby Kho, Rina Omar dan Genevieve Sambhi.



Sebab terjadi kanser serviks

Ia disebabkan virus HPA yang berjangkit melalui hubungan seks. Apabila wanita terdedah kepada HPV, sistem imun badan selalunya dapat menangkis serangan virus ini daripada menjangkiti wanita tetapi bagi sebahagian kecil wanita, virus berpeluang hidup bertahun-tahun sehingga ia menukar sel pada permukaan serviks kepada sel kanser. Separuh daripada kanser ini terjadi pada mereka yang berusia di antara 35 hingga 55 tahun.


Tanda dan gejala:
  • Pendarahan ketika melakukan hubungan seks
  • Pendarahan pada pertengahan bulan
  • Pendarahan selepas menopaus
  • Keluar lendir berdarah yang busuk daripada faraj
  • Sakit ketika melakukan hubungan seks

Wanita yang berisiko mendapat kanser serviks:
  • Mempunyai lebih daripada seorang pasangan
  • Mula aktif hubungan seks sebelum usia 18 tahun
  • Mengalami jangkitan kuman seperti sifilis, gonorea, chlamydia atau HIV
  • Kurang daya tahan imun
  • Merokok
Ujian pap smear

Doktor akan mengambil sedikit tisu pada permukaan serviks dan hantar ke makmal. Ujian ini akan mengesan sebarang keganjilan pada servik seperti sel pra barah.

Ujian ini digalakkan dilakukan setiap tahun bagi mengesan kanser peringkat awal yang mungkin boleh menyelamatkan nyawa.

Ujian HPV

Ujian ini boleh mengesan kuman HPV yang spesifik terhadap kanser serviks seperti strain 16 dan 18, iaitu penyebab utama kanser pangkal rahim.

Colposcopy

Doktor akan menggunakan mikroskop khas untuk memeriksa pangkal rahim. Jika ada, sedikit biopsi akan diambil dan dihantar ke makmal.

Kadangkala biopsi kon akan dibuat jika didapati sel barah merebak lebih jauh ke dalam.
Sumber: HIDAYATUL AKMAL AHMAD (mymetro)

Diabetes: Lindungi kaki anda daripada pemotongan




Kebas, rasa panas, berdenyut-denyut dan rasa sakit di lengan, paha, tangan atau kaki antara tanda biasa penyakit neuropati diabetes atau kerosakan saraf.

Kira-kira 60 hingga 70 peratus penghidap diabetes mempunyai beberapa jenis kerosakan saraf. Walaupun paras gula darah anda normal atau anda menghidapi pra-diabetes (mereka yang mempunyai paras glukosa tinggi tetapi tidak cukup tinggi untuk diklasifikasikan sebagai penghidap diabetes), tidak terlalu awal untuk mula memberi perhatian kepada saraf kerana kerosakan saraf boleh bermula seawal peringkat pra-diabetes lagi.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) Ke-4 (2011) menunjukkan seorang daripada lima orang dewasa Malaysia menghidap diabetes. Ini perbezaan besar berbanding NHMS pertama (1986) hanya 6.3 peratus (%).


Kerosakan saraf disebabkan diabetes

Meskipun denyutan, rasa kebas atau sakit di hujung kaki atau tangan adalah tanda biasa neuropati, ada individu tidak mengalami gejala. Neuropati berkaitan diabetes boleh menjejaskan kekuatan otot, sensasi di pelbagai bahagian badan, malah fungsi seksual.

Neuropati periferal iaitu komplikasi diabetes paling biasa, boleh menyebabkan rasa kebas atau sakit di paha, kaki, jari kaki, lengan dan tangan.

Jenis neuropati lain ialah neuropati autonomik yang boleh merosakkan fungsi sistem penghadaman, mengakibatkan cirit-birit atau sembelit serta melemahkan fungsi pundi kencing. Ia turut mempengaruhi cara berpeluh, malah menjejaskan kesihatan seksual.

Neuropati proximal pula mungkin menyebabkan lemah pada kaki dan sakit pada pinggang, punggung dan paha, manakala neuropati fokal boleh menyerang urat saraf dalam badan dan sering menyebabkan kelemahan secara tiba-tiba. Rencana ini memberi fokus terhadap neuropati periferal.


Lindungilah kaki anda

Neuropati periferal sering berlaku di kaki. Antara gejala ialah kehilangan rasa di kaki atau lebih berkemungkinan mengalami kecederaan, berjalan secara tidak normal dan mempunyai kudis diabetes yang tidak mahu sembuh. Kudis ini kemudian memburuk dan seterusnya mengakibatkan anggota kaki atau paha anda dipotong.

Risiko pemotongan kaki adalah 27.7 kali lebih besar bagi penghidap diabetes berbanding orang biasa. Lebih menakutkan, 50% daripada semua pemotongan anggota berlaku pada penghidap diabetes. Itu sebabnya penghidap diabetes perlu sentiasa menjaga kaki mereka.


Rawatan adalah berlainan

Disebabkan setiap neuropati berbeza, rawatannya juga berbeza dan anda perlu meminta nasihat doktor untuk penyelesaian terbaik.

Bagaimanapun, rawatan bagi mana-mana penyakit neuropati akan bermula dengan usaha mengawal paras glukosa darah anda.

Pemantauan gula darah secara kerap, perancangan makanan, kegiatan fizikal, pengambilan ubat secara oral atau insulin membantu mengawal paras glukosa darah. Ia mungkin mengambil sedikit masa tetapi umumnya, gejala semakin berkurangan apabila pengawalan glukosa yang baik dilaksanakan.

Pengawalan gula darah yang baik juga boleh membantu mencegah atau melambatkan datangnya masalah selanjutnya.

Saintis Jepun mendapati saraf rosak boleh dipulihkan semula dengan mengambil sejenis suplemen mudah, dikenali sebagai mecobalamin atau methylcobalamin, bentuk vitamin B12 yang aktif.


Mecobalamin memulihkan saraf yang rosak

Mecobalamin adalah bentuk Vitamin B12 yang aktif dari segi neurologi. Dengan mecobalamin, hepar boleh melangkau proses menukar B12 yang tidak aktif – cyanocobalamin – kepada mecobalamin, kerana ia aktif dari segi oralnya. Mecobalamin melindungi penyakit neurologi (saraf) dan penuaan melalui satu mekanisme unik, yang berbeza dengan terapi semasa.

Sesetengah gangguan yang mungkin boleh dicegah atau dirawat menggunakan terapi vitamin semula jadi ini termasuk neuropati periferal.

Ambil sebiji kapsul 500 mikrogram (mcg) tiga kali sehari untuk membantu menggalakkan pertumbuhan saraf sihat dan mengelak proses degenerasi (penuaan) sistem saraf.


Petua mendapatkan paras gula darah yang lebih sihat:
  • Kurangkan berat badan
Berat badan berlebihan harus dikurangkan dan ia boleh dilakukan dengan amalan pemakanan umum yang sihat serta aktif dari segi fizikal.
  • Anda mesti selalu aktif dari segi fizikal
Tidak perlu bertungkus-lumus dengan senaman berat di gimnasium, malah berjalan kaki atau menggunakan tangga daripada menaiki lif sebenarnya boleh membantu.
  • Elak pengambilan pencuci mulut yang manis
Elak makan kuih-muih, ais kacang, cendol atau makanan manis. Kurangkan memakan coklat kerana ia jelas tidak sihat dan merosakkan kesihatan anda. Mengikut Persatuan Jantung Amerika (AHA), pengambilan gula yang tinggi dikaitkan dengan keadaan kesihatan tidak baik, termasuk kegemukan, diabetes, tekanan darah tinggi, radang, paras trigliserida yang tinggi dan semuanya adalah faktor risiko penyakit jantung dan strok.
  • Selalu pilih bijirin lengkap
Gantikan beras putih dengan beras perang dan pastikan pasta anda diperbuat daripada gandum penuh. Jika anda diberi pilihan, pilih capati daripada roti canai, dan makan roti gandum penuh berbanding roti gandum putih.
  • Kurangkan minuman manis
Mengurangkan pengambilan minuman bergula langkah yang sangat penting untuk mewujudkan paras gula darah yang lebih sihat. Ini termasuk semua minuman ringan yang berkarbonat, jus buahan segar dan teh tarik. Kini ada beberapa jenis minuman kopi putih ‘tiga dalam satu’ tanpa gula, coklat malt dan oat dan bijirin yang dimaniskan dengan stevia, sejenis pemanis semula jadi.
Ia boleh didapati di kedai farmasi persendirian terkemuka, kedai farmasi berangkai terpilih, kedai runcit dan pasar mini di seluruh negara. Minuman 3 dalam 1 bebas gula adalah pilihan lebih sihat!

Ketahui tanda awal leukemia


Ibu bapa, cuba perhatikan sama ada anak anda mudah letih, nafas pendek, mudah terkena jangkitan penyakit, lebam di badan dan hilang selera makan. Jika jawapannya ya, segera bawa anak berjumpa doktor kerana ia mungkin tanda awal penyakit leukemia.
Leukemia ialah satu daripada barah yang berpunca daripada pertambahan sel darah putih. Ini memudaratkan kesihatan kerana boleh menyebabkan kerosakan sel darah merah.
Ini memudahkan jangkitan, mengurangkan sel darah putih matang selain membantutkan pertumbuhan platelet iaitu bahan utama dalam kandungan darah.

Pakar Pediatrik Hospital Columbia Asia, Dr Khairul Zaman Omar berkata, tiada sebab mutlak seseorang diserang leukemia, namun ia boleh berlaku disebabkan beberapa faktor.


“Antara faktor kanak-kanak dijangkiti leukemia ialah sejarah keluarga yang mengalami sakit sama atau barah, pernah terkena jangkitan virus Epstein-Barr (tidak semua), selepas membuat rawatan kemoterapi dan mengalami penyakit sindrom Down, sindrom fragile-X (sindrom reput-X) serta sindrom Fanconi.

“Jika tidak dirawat segera, ia boleh menyebabkan maut. Meskipun selepas rawatan, perlu sentiasa diawasi kerana leukemia menyebabkan sistem imunisasi pesakit lemah dan tidak normal, malah mudah terkena jangkitan kuman, misalnya fungus,” katanya, baru-baru ini.

Menurutnya, seawal bayi lahir, ia mempunyai risiko dijangkiti leukemia, malah antara lelaki dan wanita, risiko diserang leukemia adalah sama.



“Leukemia boleh berlaku kepada sesiapa saja, sama ada kanak-kanak mahupun dewasa. Orang dewasa lebih berisiko mendapat penyakit ini apabila sering terdedah kepada sinaran.

“Ini termasuk orang yang terselamat dalam letupan bom atom di Jepun, mereka yang terdedah kepada sinaran radiasi selepas bencana loji nuklear Chernobyl, dan mereka yang menerima sinaran pada jumlah banyak sewaktu menjalani rawatan perubatan tertentu pada masa lalu,” katanya.

Di kawasan tertentu dunia, seperti barat daya Jepun, bahagian Afrika dan Caribbean, sejenis leukemia tertentu boleh merebak di kalangan penduduk tempatan disebabkan virus dikenali sebagai Human T cell lymphotropic virus (HTLV).


Jenis leukemia

Leukemia boleh terjadi dalam beberapa bentuk. Sesetengah bentuk timbul serta-merta dan berkembang dengan cepat dalam masa beberapa hari atau beberapa minggu yang dipanggil leukemia akut.

Manakala yang berkembang dengan kadar perlahan dalam masa beberapa bulan atau beberapa tahun pula dipanggil leukemia kronik.

Penyakit leukemia dinamakan mengikut jenis sel darah putih yang terbabit. Leukemia mieloid ialah yang membabitkan granulosit (satu daripada sekumpulan darah putih yang mengandungi bintil dalam sitoplasma); leukemia limfoid membabitkan limfosit (sel darah putih di nodus limfa, limpa, kelenjar timus, dinding usus dan sumsum tulang).


1) Leukemia limfoid akut (Acute lymphoid leukaemia)

Leukemia limfoid akut lebih lazim pada kanak-kanak dan peratusan yang kecil di kalangan orang dewasa. Ia menjejaskan limfosit yang belum matang.

Limfosit yang normal bertanggungjawab melawan jangkitan apabila bakteria atau virus menyerang tubuh, limfosit bertindak balas dengan menghasilkan antibodi atau sel pembunuh limfosit yang khas.


2) Leukemia limfoid kronik (Chronic lymphoid leukaemia)

Leukemia ini juga menjejaskan limfosit tetapi berkembang dengan lebih perlahan daripada leukemia limfoid akut. Penyakit ini menyerang orang dewasa, tetapi tidak dikesan pada kanak-kanak.

Penyakit ini berkembang dengan lebih perlahan, oleh itu sel normal tidak terhimpit dan ditolak keluar dengan cepatnya berbanding leukemia limfoid akut.

Jika menghidapi leukemia limfoid kronik, anda mungkin tidak mengalami sebarang gejala hinggalah peringkat lanjut penyakit ini.


3) Leukemia mieloid akut (Acute myeloid leukaemia)

Leukemia ini biasanya menyerang orang dewasa, tetapi boleh terjadi pada kanak-kanak dan remaja. Ia menjejaskan sel mieloid yang dipanggil granulosit.

Penyakit ini menghasilkan sel mieloid yang masih muda dalam jumlah yang berlebihan dan menyebabkan kekurangan sel mieloid matang. Sel ini boleh menyekat saluran darah.


4) Leukemia mieloid kronik (Chronic myeloid leukaemia)

Leukemia jenis ini boleh terjadi pada semua peringkat umur tetapi paling jarang dikesan pada usia di bawah 20 tahun. Ia menghalang sel mieloid daripada berfungsi dengan betul.

Ia berlaku dalam dua peringkat iaitu berlakunya pembahagian sel abnormal secara perlahan. Kemudian, ia boleh dengan cepatnya berubah ke peringkat akut.

Rawatan


  •  Kemoterapi.
  •  Rawatan komplikasi seperti jangkitan kuman memerlukan antibiotik.
  •  Rawatan pemindahan sum-sum tulang.

  • Sumber: HIDAYATUL AKMAL AHMAD (mymetro)

    Sel lemak punca Lipoma





    Gambar 1: Kaedah pembuangan lipoma membabitkan pembedahan kecil

    BENJOLAN kulit yang muncul di badan, apatah lagi dapat dilihat dengan mata kasar, tentunya membuatkan seseorang individu berasa rendah diri dan tidak yakin. Lebih menakutkan jika benjolan ini muncul di tempat seperti tangan, kaki, bahu dan leher.



    Gambar 2: Benjolan lipoma di belakang leher

    Sesetengah pihak berpendapat benjolan ini bahaya dan lebih kepada risiko kanser, namun tidak kurang juga ada yang mengatakan ia tidak bahaya. Sejauh manakah benjolan yang dikenali sebagai lipoma ini memberi impak dalam kehidupan manusia?

    Perunding Bedah Am Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur, Dr Zain Al-Rashid menjelaskan, lipoma adalah sejenis ketumbuhan berasal daripada sel lemak dipanggil lipid yang terbentuk oleh tisu adipose yang lazimnya berlaku di antara kulit dan lapisan otot.

    Ia tidak berbahaya dan sangat biasa berlaku, yang mana satu hingga dua peratus orang dewasa di negara ini dilaporkan mengalaminya.

    Lipoma dikategorikan sebagai ketumbuhan benigna (tumor bukan barah), tidak merebak atau berbahaya selagi ia tidak berubah menjadi kanser.
    “Lipoma jarang memudaratkan dan kemungkinan untuk menjadi kanser hanya 0.05 peratus. Ada perbezaan pendapat mengatakan lipoma punya kapasiti kecil untuk menjadi barah, tetapi sangat jarang, manakala pendapat kedua mengatakan semua lipoma bukan barah.

    “Lipoma juga biasanya senang dikesan kerana kebanyakannya berada di bawah kulit dan boleh timbul pada bahagian tubuh, tangan dan kaki serta leher.

    “Ia juga boleh berlaku pada kulit kepala, dahi atau di mana saja asalkan ada lapisan tisu adipose,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Jelasnya, lipoma tidak perlu dibuang dan bergantung kepada keselesaan pesakit. Namun, jika rimas dengan benjolan yang mengganggu penampilan dan bimbang ia melarat walaupun ia bersifat bukan barah, ia boleh dibuang dengan mudah.

    “Ketumbuhan lemak boleh berlaku pada semua orang dewasa dan ia jarang terjadi pada kanak-kanak. Sebagaimana ketumbuhan lain, semua orang boleh mendapat lipoma, tetapi orang gemuk mempunyai risiko lebih tinggi. Begitupun, ada juga pesakit di kalangan orang kurus dan ia juga boleh diwarisi.



    Gambar 3: Lipoma bersaiz 7 cm selepas dikeluarkan

    “Ketumbuhan ini juga unik kerana ia lembut, boleh bergerak (apabila ditekan), tidak melekat pada kulit, tiada simptom dan mengambil masa lama untuk terbentuk.
    “Pada amnya, lipoma ada dua bentuk, iaitu bulat dan leper dan saiznya sama seperti duit syiling 20 sen dan 50 sen,” katanya.

    Lipoma secara teknikalnya boleh berlaku pada mana-mana kawasan berlemak, termasuk kawasan sekeliling organ seperti buah pinggang dan usus.

    Lipoma di bawah kulit tidak menimbulkan masalah, tetapi yang tumbuh di tempat tidak sepatutnya seperti dalam usus, tulang belakang dan hati boleh membawa masalah kerana ia menyebabkannya tersumbat, ulser dan pendarahan.

    Ada juga penyakit seperti Sindrom Dercum dan Sindrom Madelung yang dikategorikan sebagai jarang berlaku. Ia boleh dikesan apabila ada banyak tompokan lipoma di serata badan yang biasanya dialami orang minum arak, warga tua dan sering dikaitkan dengan obesiti (tidak semestinya orang gemuk mengalami lipoma tapi boleh mengalami Dercum).

    Mereka juga sering mengadu mengalami gejala tidak khusus seperti tidak sihat, pening kepala, sakit perut, mabuk dan sakit sendi yang tiada kena mengena dengan tompokan lemak itu.

    “Biasanya pesakit ditumbuhi bukan satu atau dua benjolan lipoma tetapi 20 hingga 30 benjolan. Namun situasi ini jarang berlaku berbanding lipoma biasa yang sering tumbuh di bawah lapisan kulit.

    “Penyakit ini juga lebih tertumpu kepada lelaki. Disebabkan ia ketumbuhan biasa di bawah kulit, ramai orang tidak mengambil tahu atau kisah mengenainya.

    “Paling penting jika didapati benjolan atau rasa kurang selesa, segera berjumpa doktor kerana ia mungkin bukan ketumbuhan lemak, sebaliknya petanda penyakit lain. Ketumbuhan lemak mudah dikenal pasti dan boleh ditentukan melalui pemeriksaan fizikal saja,” katanya.

    Tambahnya lagi, bagi mengenal pasti benjolan itu lipoma atau bukan, pesakit perlu menjalani diagnosis klinikal. Ujian radiologi seperti imbasan ultrasound, imbasan Tomografi Berkomputer atau CT Scan, pengimbas Imej Magnetik (MRI), dilakukan hanya jika lipoma itu menunjukkan tanda luar biasa.

    Kes dianggap berbahaya adalah lipoma yang ketika kecilnya tiada sifat radiologikal mencukupi yang menunjukkan ia akan berubah menjadi barah seperti liposarcoma, misalnya yang biasanya mengganggu tempat lain seperti belakang usus dalam badan (sekitar retroperitonial).

    Secara umumnya, selagi ia tidak mendatangkan kesakitan atau masalah kesihatan, ketumbuhan lemak ini tidak perlu dibuang.

    Namun demikian, keputusan ini tertakluk kepada pilihan setiap individu kerana ramai lebih gemar ketumbuhan lemak dibuang atas faktor kosmetik. Biasanya ia dinasihatkan dibuang jika ukuran garis pusatnya (saiz) melebihi lima sentimeter.

    Pembedahan pembuangan ketumbuhan lemak boleh dianggap pembedahan kecil kerana ia membabitkan kaedah bius setempat. Maknanya, pesakit boleh menyaksikan doktor menjalankan pembedahan pembuangan ketulan lemak itu.

    Dr Zain turut menasihatkan walaupun tidak berbahaya, lebih baik dibuang kerana jika dibiarkan ia terus membesar. Ketumbuhan ini mungkin boleh menyebabkan masalah lain. Tindakan awal boleh mengurangkan risiko pembedahan jika dilakukan pada peringkat lewat.

    Bagi Sarah Ahmad, 24, benjolan yang disedari kewujudannya di sebelah kanan pinggangnya sejak empat tahun lalu tidak diambil peduli kerana tidak menyebabkan kesakitan. Namun semakin hari benjolan itu semakin besar.

    “Saya memiliki berat dan tinggi yang ideal namun setiap kali ke kelas, kawan akan tegur dan tanya apakah benjolan yang ada di belakang pinggang di sebelah kanan.
    “Ramai juga menasihatkan supaya berjumpa pakar dan buat pemeriksaan selanjutnya. Saya tidak ambil peduli disebabkan tidak menyebabkan kesakitan dan kemudaratan,” katanya ketika dihubungi.

    Namun lama-kelamaan Sarah tidak selesa kerana mengalami kesukaran tidur apabila mengiring ke sebelah kanan. Selepas mendapat nasihat keluarga dan rakan, akhirnya Sarah menemui pakar sebuah hospital di ibu negara.

    Selepas didiagnosis, nyata benjolan itu adalah lipoma. Doktor turut mengesyorkan Sarah membuang benjolan itu, apatah lagi hanya pembedahan biasa dilakukan.

    “Selepas dibius, saya tidak merasa apa-apa sehingga selesai dibedah. Meskipun pembedahan itu meninggalkan parut, tapi paling penting benjolan itu hilang dan saya berasa lebih selesa dan yakin.

    “Kini saya bebas dan tiada lagi benjolan yang mengganggu. Kepada yang mempunyai benjolan ini, segera buat pembedahan kerana itu jalan terbaik bagi mengelakkan ia terus membesar,” katanya.
    Pembedahan lipoma hanya perlu jika:•Mula sakit dan rasa lembut bila disentuh
    •Terkena jangkitan atau radang berulang kali
    •Menghasilkan bau dan lelehan kurang menyenangkan
    •Mengganggu pergerakan atau fungsi
    •Saiz bertambah besar
    •Menjejaskan daripada segi kosmetik, seperti ketara di tangan dan dahi
    Tisu adipose•Tisu atau lemak dalam badan
    •Ia berperanan penting bagi penyimpanan tenaga dalam bentuk lemak
    •Ia turut bertindak sebagai ‘pelapik’ dan memberi haba kepada badan
    •Biarpun terletak di bawah kulit, ia turut ditemui di sekitar organ dalaman badan

    Credit: MyMetro